KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih YTL Corporation Bhd bagi suku ketiga berakhir 31 Mac, 2025 menyusut kepada RM419.38 juta berbanding RM496.23 juta bagi suku yang sama tahun lepas.
Hasil pendapatan syarikat bagi suku dalam tinjauan meningkat kepada RM7.32 bilion, menokok daripada RM7.21 bilion pada tempoh yang sama setahun sebelum itu, terutamanya disebabkan terjualnya sebuah bangunan pejabat selepas memperoleh sijil penerimaan.
Keuntungan bersih bagi tempoh sembilan bulan merosot kepada RM1.33 bilion daripada RM1.61 bilion dan hasil menokok kepada RM23.15 bilion daripada RM22.26 bilion tahun lepas.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, konglomerat infrastruktur itu berkata mereka kini sedang membangunkan Taman Pusat Data Hijau YTL di dalam Kulai Young Estate di Johor.
"Ia akan menjadi kampus pusat data pertama di Malaysia yang dikuasakan bersama oleh tenaga solar boleh baharu di tapak. Setakat ini, fasa pertama taman pusat data tersebut telah beroperasi, manakala pembinaan fasa-fasa seterusnya sedang dijalankan.
“Kampus ini akan menggabungkan penyelesaian inovatif dan mampan dalam reka bentuk dan operasi untuk mencapai kecekapan tenaga yang tinggi. Ia dijangka memenuhi permintaan yang semakin meningkat di rantau ini bagi penyelesaian pusat data mesra alam dan kos efektif,” katanya.
Kumpulan itu turut memaklumkan ia dan Sea Ltd telah dianugerahkan lesen perbankan digital oleh Bank Negara Malaysia pada April 2022.
“Usaha baharu ini, yang akan memanfaatkan pelbagai sinergi antara kumpulan ini dan Sea Ltd, akan membolehkan kumpulan ini menyumbang lebih jauh kepada pertumbuhan transformasi digital Malaysia.
"Di samping itu, ia dapat memperluaskan akses penduduk kepada perkhidmatan kewangan, terutamanya kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan dan tidak mempunyai akses bank, serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” katanya.
YTL Corp berkata ia menjangkakan prestasi segmen perniagaan akan kekal kukuh dan akan terus memantau dengan teliti risiko berkaitan serta impaknya terhadap semua segmen perniagaan.
-- BERNAMA