SUKAN

Kedah FC, Perak FC Masih Ada Harapan - Mohd Yusoff

22/05/2025 07:26 PM

PETALING JAYA, 22 Mei (Bernama) -- Kegagalan Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Perak FC memperoleh lesen kebangsaan untuk bersaing dalam saingan Liga Super musim 2025-2026 bukan noktah kepada perjalanan mereka dalam bola sepak tempatan.

Sebaliknya, kedua-dua pasukan utara itu masih berpeluang meneruskan aksi dalam Liga A1.

Pengerusi Liga Bolasepak Amatur (AFL) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata pihaknya tidak mahu mana-mana pasukan yang terkeluar daripada Liga Malaysia (Liga-M)  terus lenyap daripada kancah bola sepak negara.

“Kita tidak mahu bila pasukan jatuh, terus hilang. Liga A1 ini menjadi platform untuk KDA FC dan Perak FC terus hidup dan terus berjuang.

“Dengan adanya Liga A1, mereka masih ada tempat untuk kembali. Kita harap suatu hari nanti mereka mampu kembali ke Liga Super,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kenderaan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Mohd Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM menegaskan kejatuhan dua kelab berkenaan perlu dilihat sebagai peluang untuk melakukan pemulihan demi masa depan yang lebih baik.

“Pasukan seperti ini perlu ruang untuk ambil nafas, susun semula kekuatan dan perlahan-lahan bina semula pasukan.

“Saya di AFL sentiasa memberi ruang dan mengalu-alukan penyertaan mereka untuk kekal beraksi dalam Liga A1,” katanya.

Terdahulu, First Instance Body (FIB) mengesahkan bahawa kedua-dua pasukan itu gagal mendapatkan lesen kebangsaan bagi saingan Liga Super musim depan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425807