AM

'Pak Belang' Intai Ternakan Di Gerik, Penduduk Dinasihat Kurung Haiwan - Perhilitan

21/05/2025 06:22 PM

IPOH, 21 Mei (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menasihati penduduk supaya tidak membiarkan haiwan ternakan mereka bebas berkeliaran susulan kejadian serangan harimau belang di Kampung Padang Langgar, Gerik pada 17 Mei lepas.

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata kandang haiwan juga perlu bersesuaian dan mampu meminimumkan serangan mamalia pemangsa itu.

“Penduduk sepatutnya mengurung haiwan ternakan dalam kandang yang bersesuaian. Bukan buat kandang sekadar ada atau ‘cincai’ sahaja. Ini bagi mengelak haiwan mereka menjadi mangsa binatang buas,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sebelum ini, empat ekor lembu ternakan penduduk dilaporkan menjadi korban serangan harimau belang yang dipercayai datang dari hutan berhampiran kampung berkenaan.

Yusoff berkata buat masa ini tiada sebarang kelibat ‘raja rimba’ itu dikesan kembali ke kampung berkenaan meskipun perangkap telah dipasang oleh pihak Perhilitan selepas aduan dikemukakan penduduk kampung.

“Kita juga menggunakan teknologi dron untuk mengesan kelibat harimau berkenaan, namun buat masa ini masih tiada kesan jejak haiwan itu dijumpai,” katanya, sambil menjelaskan kurangnya populasi babi hutan yang menjadi sumber utama makanan antara punca harimau itu menghampiri kawasan penduduk.

Beliau berkata pihaknya berharap harimau itu kembali ke habitat asal, sekali gus meredakan kebimbangan penduduk kampung berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2425353