WILAYAH - UTARA > BERITA

Maritim Malaysia Komited Banteras Aktiviti Penyeludupan Dadah Di Perairan Negara

26/07/2025 07:18 PM

ALOR SETAR, 26 Julai (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan dadah rentas sempadan melalui perairan negara.

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah menegaskan komitmen tersebut susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sempena Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan 2025 yang di Jitra, semalam.

“Maritim Malaysia kini berada dalam kesiapsiagaan tinggi dalam memperkukuh rondaan dan penguatkuasaan maritim secara berterusan.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana cubaan membawa masuk dadah ke negara ini melalui jalan laut dan setiap inci sempadan perairan negara adalah tanggungjawab Maritim Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui perairan negara terus menjadi sasaran sindiket dadah antarabangsa yang menjadikan laluan laut sebagai ‘jalan selamat’ untuk menyeludup dadah ke Malaysia.

“Ini seperti yang ditegaskan Menteri Dalam Negeri bahawa 80 peratus bekalan dadah masuk ke negara ini melalui laut…untuk rekod dari 2020 hingga Jun 2025, Maritim Malaysia telah melaksanakan pelbagai operasi bersepadu di seluruh negara dan berjaya mencatatkan 117 kes tangkapan dadah dengan nilai rampasan dianggarkan hampir RM200 juta.

“Ini bukan angka yang kecil dan setiap rampasan dapat menyelamatkan beribu nyawa daripada terjebak dengan penagihan dadah. Justeru, Maritim Malaysia akan terus memperhebat operasi dan risikan bersama agensi penguat kuasa lain dalam menangani isu ini,” katanya.

Sementara itu, bagi mendepani cabaran penguatkuasaan di perairan negara, Mohd Rosli berkata keupayaan Maritim Malaysia diperkasakan lagi melalui pertambahan aset laut dan udara, antaranya Kapal Maritim (KM) TUN FATIMAH yang kini beroperasi di perairan Laut China Selatan.

“Selain itu, beberapa bot peronda generasi baharu juga telah ditempatkan di kawasan ‘hotspot’. Maritim Malaysia juga bakal menerima sebuah kapal EX-USCG Cutter Steadfast yang dijadual tiba pada November depan, selain helikopter AW189 yang akan siap pada 2026.

“Sebuah Kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) dari Turkiye pula dijangka siap dan diserahkan pada 2027. Dengan perolehan aset baharu ini, Maritim Malaysia bukan sahaja meningkatkan keupayaan fizikal tetapi memperkukuh keupayaan pemantauan dan pengoperasian di laut,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah memberi perhatian dan kelulusan terhadap permohonan penambahan aset yang dilaksanakan melalui Kementerian Dalam Negeri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan