WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Akan Terus Berhubung Dengan Kemboja Dan Thailand, Cadang Proses Damai

26/07/2025 02:03 PM

PUTRAJAYA, 26 Julai (Bernama) -- Malaysia akan terus berhubung dengan pemimpin Kemboja dan Thailand bagi mencadangkan proses damai susulan konflik sempadan membabitkan kedua-dua negara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai telah merakamkan penghargaan kepada beliau atas ikhtiar mencadangkan proses damai dan gencatan senjata dalam konflik terbabit.

“Ada tembak-menembak lagi (di sempadan Thailand dan Kemboja). Jadi, saya terus minta Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan hubungi Kementerian Luar dan kalau boleh saya akan terus hubungi mereka (pemimpin dua negara) sekurang-kurangnya hentikan dulu (pertempuran di sempadan),” kata beliau.

Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 Tahun 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Semalam, Anwar berkata kerajaan Malaysia tidak memandang ringan konflik yang sedang berlaku antara Thailand dengan Kemboja serta kesannya terhadap negara ini.

Bernama melaporkan Perdana Menteri menyambut baik isyarat positif serta kesediaan yang ditunjukkan Bangkok dan Phnom Penh dalam mempertimbangkan pelaksanaan gencatan senjata bagi mengelakkan konflik yang lebih buruk di sempadan kedua-dua negara.

Media sebelum ini melaporkan bahawa tentera Thailand dan Kemboja bertempur pada Khamis lepas di kawasan pertikaian sempadan bersama, dengan kedua-dua pihak saling menuding jari mengenai pihak yang dianggap sebagai pencetus konfrontasi terbaharu itu.

Ketegangan antara kedua-dua negara Asia Tenggara berkenaan meningkat sejak 28 Mei susulan insiden berdarah di kawasan Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Kedua-dua negara telah berselisih pendapat mengenai isu sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan selama beberapa dekad, dan pertikaian ini terus menjejaskan hubungan diplomatik mereka.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan