WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Maritim Malaysia Komited Perkasa Kawalan Keselamatan Perairan Negara

27/07/2025 04:46 PM

GEORGE TOWN, 27 Julai (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang terus komited memperkasa kawalan keselamatan perairan negara menerusi Operasi Bersepadu di sekitar perairan Taman Negara Teluk Bahang di sini, semalam.

Pengarah Maritim negeri Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata operasi dijalankan bersama polis dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang diketuai Timbalan Pengarah Operasi Maritim negeri Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain, dengan menumpukan kawasan di kedudukan 0.5 batu nautika dari pantai. 

Beliau berkata semasa operasi itu pasukan terlibat telah memeriksa secara rawak beberapa vesel nelayan tempatan (VNT) dan bot pelancong yang berada di kawasan Pulau Duyung dan Pantai Kerachut.

“Pemeriksaan menyeluruh turut dilakukan ke atas bot pelancong merangkumi lesen pemandu, aspek keselamatan bot serta permit bot pelancong. 

“Rata-rata pemandu dan penumpang bot pelancong yang diperiksa merupakan warga tempatan berusia lingkungan 25 hingga 50 tahun. Kesemua bot dan vesel tersebut didapati mematuhi undang-undang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Suffi berkata kerjasama strategik antara agensi akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang yang bersepadu dan berkesan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan