WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sukan SEA 2025: MSN Nafi Persiapan Skuad Berbasikal Lebuh Raya Lemah

14/07/2025 06:40 PM

PETALING JAYA, 14 Julai (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) menafikan dakwaan berlaku kelemahan dalam persiapan skuad berbasikal lebuh raya negara ke Sukan SEA 2025 di Thailand, sambil menegaskan dana telah disalurkan kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata peruntukan sebanyak RM300,000 telah diluluskan dengan sebahagian daripadanya sudah disalurkan dalam membiayai persiapan pasukan ke temasya dwitahunan itu.

“Kita telah mengadakan bengkel penyenaraian atlet ke Sukan SEA bersama PKBM pada 16 Jan lepas dan kedua-dua pihak bersetuju bahawa pasukan lebuh raya akan dibarisi pelumba profesional.

“Namun, keputusan untuk memilih sama ada Terengganu Cycling Team (TSG) atau Malaysian Pro Cycling (MPC) adalah di bawah bidang kuasa PKBM,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata sebarang dakwaan bahawa MSN tidak membantu dari segi keperluan atau persiapan tidak sepatutnya timbul memandangkan tanggungjawab pemilihan skuad adalah di bawah PKBM.

Mengulas mengenai permohonan pembelian basikal oleh PKBM, beliau berkata jika TSG dipilih menyertai temasya itu, perkara berkenaan tidak timbul berikutan pasukan itu sudah memiliki kelengkapan yang diperlukan.

“Kalau benar ada perancangan baharu atau tuntutan lain, saya menyeru PKBM datang berbincang dengan kita untuk diteliti bersama,” katanya.

Sementara itu, Jefri berkata isu penarikan diri oleh kelab tidak seharusnya berbangkit memandangkan terdapat persefahaman awal antara MSN dan PKBM.

Terdahulu, Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill berkata skuad lebuh raya negara tidak akan menarik diri daripada menyertai Sukan SEA 2025 serta akan mempertahankan pingat dimenangi pada edisi lepas.

Beliau turut menafikan sebarang masalah dengan MSN dan menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan yang diberikan, termasuk dari aspek kewangan dan logistik.

Semalam, beberapa media melaporkan TSG dan MPC merasakan segala jasa dicurahkan mereka tidak dipandang selepas permohonan RM250,000 bagi tujuan persiapan ke temasya itu ditolak MSN pada mesyuarat persiapan yang berlangsung minggu lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan