KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mula mengoperasikan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) yang antaranya berkemampuan untuk menganalisis data pelawat dan pelancong yang masuk ke negara ini menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata sistem kawalan pintu masuk itu akan digunakan untuk menapis pelawat dan pelancong seawal mereka hendak bertolak dari negara asal ke negara ini.
“Kalau sekarang ini, kita ada sistem-sistem berbeza iaitu kita tidak boleh menggunakan data lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), tetapi kini kita akan gabung semua data untuk menghasilkan satu output ataupun hasil yang lebih efektif sebelum kita membuat apa-apa keputusan.
“Menggunakan sistem ini, pelawat dan pelancong akan disaring di negara mereka sendiri sebelum bertolak. Jika didapati mereka ini tidak dibenarkan masuk, pihak penerbangan secara automatik tidak akan benarkan dia untuk menaiki pesawat (boarding),” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini malam ini.
Beliau berkata NIISe merupakan satu daripada inisiatif agensi itu dalam memanfaatkan teknologi AI untuk meningkatkan kecekapan dan integriti penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
“Melalui sistem NIISe ini juga, kita akan adakan chatbot, jadi orang ramai boleh bercakap, bertanya dengan sistem sahaja, tak perlu lagi bertanya melalui telefon, di kaunter dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, penggunaan pengaplikasian teknologi AI dalam operasi JIM juga bertepatan dengan hala tuju yang telah ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri bagi memperluas penggunaan teknologi di kementerian itu dengan tema “AI for KDN, KDN for AI”.
Zakaria berkata pagar automatik (autogate) menggunakan sistem kod respon pantas (QR) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut akan menggunakan teknologi AI bagi pengecaman wajah sekali gus membolehkan isu integriti ditangani dengan lebih berkesan.
“Saya melihat dalam kita menguruskan integriti ini, sebenarnya teknologi ini banyak membantu kita mengurangkan peranan manusia dalam membuat keputusan dan itu sebab di pintu masuk kita, kita ke arah menggunakan autogate sepenuhnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata JIM akan memberi tumpuan pada tindakan penguatkuasaan lebih agresif terhadap pendatang asing tanpa izin tahun ini bagi mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadap agensi itu.
Katanya pada tahun ini sahaja, seramai 49,000 pendatang tanpa izin telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen manakala 1,064 majikan dikenakan tindakan kerana memberikan perlindungan dengan menempatkan mereka di rumah kediaman, rumah kongsi dan tapak pembinaan.
Beliau berkata kes-kes berkenaan juga melibatkan majikan dalam sektor perniagaan seperti restoran, kedai makan, rumah urut, pusat hiburan dan pelbagai premis lain yang dikenal pasti sering menggaji pendatang tanpa izin.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial