SPRM Gempur Sindiket Penyeludupan Besi Buruk Di Lima Negeri, Kerugian Cukai Eksport RM950 Juta

15/07/2025 06:16 AM

GEORGE TOWN, 15 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggempur sindiket penyeludupan besi buruk di lima negeri yang dipercayai membayar rasuah kepada penguat kuasa sehingga menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai eksport mencecah lebih RM950 juta. 

Serbuan dijalankan oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM menerusi Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) di 19 lokasi sekitar Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor serta Kedah. 

Operasi khas ‘Op Metal’ yang turut disertai anggota Skuad Taktikal Antirasuah (ACTS) SPRM itu menyerbu enam lokasi di Pulau Pinang semalam termasuk rumah, pejabat serta tempat penyimpanan dan pemprosesan besi buruk yang dipercayai terlibat dalam kegiatan tersebut.

Dalam serbuan pertama yang disertai Bernama di kawasan perumahan mewah di Batu Maung dekat sini pada 6 pagi tadi, pasukan operasi telah menyerbu sebuah banglo tiga tingkat dipercayai kediaman seorang lelaki warga asing yang juga pemilik syarikat besi buruk.

Pasukan dimaklumkan lelaki itu berada di luar negara atas urusan perniagaan sejak dua hari lepas dan mendapati hanya isteri, anak dan seorang wanita warga emas dipercayai ibunya berada di rumah tersebut.

Pasukan menggeledah bagi mencari bahan bukti dan dokumen berkaitan aktiviti penyeludupan manakala anggota ACTS membuat pemantuan di dalam dan luar kediaman bagi memastikan operasi berjalan lancar.

Seterusnya pihak media dibawa menyertai serbuan ke atas tempat penyimpanan dan pemprosesan besi buruk di Jalan Bukit Minyak, Bukit Mertajam dekat sini pada 9 pagi iaitu sebaik sahaja premis tersebut dibuka.

Anggota ACTS membuat pemeriksaan di keseluruhan premis yang dikelilingi zink dan menempatkan besi buruk dalam pelbagai bentuk, saiz dan jenis dipercayai untuk diproses sebelum dieksport ke luar negara.

Hampir 30 pekerja termasuk yang bertugas di pejabat dikumpulkan sebelum pasukan operasi menjalankan pemeriksaan lanjut. 

Kira-kira 15 minit kemudian, seorang lelaki yang mengaku sebagai pengurus premis itu tiba dan memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya selain difahamkan beberapa dokumen turut dirampas. 

Dalam pada itu, sumber memaklumkan tujuh serbuan di Selangor, empat di Kedah dan masing-masing satu di Negeri Sembilan serta Johor pula melibatkan pusat menyimpan dan memproses besi buruk, pejabat serta kediaman individu-individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan berkenaan.

Sumber memaklumkan sindiket itu didapati menyeludup keluar besi-besi untuk dieksport ke India, China dan beberapa negara lain namun diikrarkan sebagai barangan jentera serta logam lain yang tidak dikenakan cukai eksport 15 peratus seperti yang ditetapkan kerajaan. 

"Bagi memastikan besi-besi ini dapat melepasi pemeriksaan dan mengelak dikenakan cukai, sindiket itu dipercayai telah merasuah beberapa pegawai-pegawai penguat kuasa," katanya. 

Sumber memberitahu tindakan pengawai penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket tersebut menyebabkan kerajaan kerugian hasil cukai kira-kira RM160 juta setahun sejak enam tahun lepas atau keseluruhannya dianggarkan lebih RM950 juta. 

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan serbuan di lima negeri berkenaan melibatkan pengilang dan syarikat yang mengeksport besi ke luar negara. 

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Katanya siasatan turut memberi fokus pada mengenal pasti individu terlibat termasuk penjawat awam yang melindungi kegiatan tersebut.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan