GELANG PATAH, 10 Julai (Bernama) -- Sebuah helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dalam kemalangan pagi ini ketika menjalani simulasi lintas hormat sempena latihan Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM 2025) berhampiran Sungai Pulai, di sini, kira-kira 35 km dari Johor Bahru.
Insiden itu berlaku di perairan berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), iaitu lokasi latihan yang melibatkan empat negara - Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan mengesahkan kemalangan itu melibatkan sebuah helikopter jenis AS355N, nombor pendaftaran 9M-PHG.
Menurut CAAM helikopter berkenaan yang dikendalikan oleh PDRM telah berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada 9.51 pagi dan membawa lima penumpang termasuk juruterbang.
Wartawan Bernama yang berada di lokasi bagi membuat liputan program turut menyaksikan sendiri kejadian tersebut.
"Kesemua lima mangsa berjaya diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin dan dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Johor.
"Mangsa kini sedang dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah, di Johor Bahru untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut perubatan,” menurut kenyataan itu.
CAAM memaklumkan siasatan lanjut akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial