WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kemalangan Helikopter: Kesemua Mangsa Stabil, Seorang Masih Ditidurkan - Azmi

11/07/2025 07:29 PM

JOHOR BAHRU, 11 Julai (Bernama) -- Seorang daripada mangsa insiden kemalangan helikopter di Sungai Pulai, Gelang Patah semalam, masih ditidurkan bagi tujuan rawatan lanjut di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata Konstabel R G Devendran ditidurkan untuk mengurangkan pergerakan dan membantu mempercepatkan proses pemulihan.

Beliau berkata selain Devendran, seorang lagi yang masih dirawat di ICU ialah pemerhati udara Koperal Adeline Liu Yan Siu, sementara tiga lagi berada di wad biasa hospital berkenaan.

“Saya datang ke sini hari ini untuk melawat pegawa-pegawai kita yang terlibat dalam kemalangan semalam. Saya dimaklumkan oleh petugas perubatan kelima-lima mereka berada dalam keadaan stabil dan saya berpeluang melawat serta bercakap dengan empat pegawai tadi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi kesemua mangsa di HSA petang ini. Turut hadir Ketua Polis Johor Datuk M Kumar. 

Azmi turut merakamkan penghargaan kepada petugas kesihatan di HSA atas tindakan pantas dan rawatan rapi yang diberikan kepada semua mangsa, sambil mendoakan agar kesemua mereka segera sembuh.

Terdahulu beliau meluangkan masa lebih satu jam menziarahi kesemua mangsa.

Dalam kejadian pada 10.15 pagi semalam, sebuah helikopter jenis AS355N milik PDRM terlibat dalam kemalangan ketika menjalani Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM) 2025 yang melibatkan kerjasama Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura di Jeti Maritim Gelang Patah.

Selain Devendran dan Adeline, turut terlibat ialah juruterbang helikopter ACP Faizul Mohammad, pembantu juruterbang Supt Ahmad Bustamin Baharom dan anggota Balai Polis Tanjung Kupang Sarjan Siti Latipa Khairuddin.

Kesemua kru berjaya diselamatkan oleh pasukan Polis Marin. 

-- BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan