WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Imigresen Tumpas Sindiket Pelacuran, Tahan 89 Individu Termasuk Warga Tempatan

11/07/2025 07:03 PM

PUTRAJAYA, 11 Julai (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 89 individu terdiri daripada warga asing dan warga tempatan, dalam Op Gegar yang dijalankan di tiga lokasi di sekitar Kuchai, Sri Petaling dan Cheras pada 9 Julai lepas.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata serbuan pertama melibatkan dua premis yang disyaki terlibat dengan aktiviti pelacuran wanita warga asing. 

Beliau berkata dalam serbuan pada 3 petang itu, 26 wanita warga asing yang terdiri daripada 11 warga Vietnam, lapan warga Indonesia, enam warga Thailand dan seorang warga Myanmar telah ditahan kerana disyaki menawarkan perkhidmatan seks manakala dua lelaki warga Bangladesh dan Pakistan turut ditahan kerana disyaki berkerja di premis terbabit. 

Zakaria berkata serbuan itu juga membawa kepada tangkapan empat lelaki warga tempatan kerana disyaki berperanan sebagai "penjaga" premis itu.

“Kegiatan ini berselindung di sebalik premis hotel murah ini yang menawarkan wanita warga Thailand, Vietnam, Myanmar dan Indonesia bagi tujuan seks dengan harga antara RM160 hingga RM480. 

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mempromosikan perkhidmatan melalui laman sesawang dan pelanggan akan melanggan menerusi aplikasi WhatsApp dan Telegram sebelum diarahkan ke lokasi berkenaan,” katanya.

Zakaria berkata pada kira-kira 10.55 malam hari yang sama, pihaknya menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menawarkan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing dan telah menahan 61 daripada 96 warga asing yang diperiksa.

Beliau berkata warga asing yang ditahan itu terdiri daripada 44 wanita warga Thailand, empat wanita warga Laos, masing-masing dua wanita warga Vietnam dan Myanmar.

“Turut ditahan lima lelaki warga Bangladesh dan empat lelaki warga Thailand yang disyaki berkerja di premis itu,” katanya dan menambah tujuh warga tempatan telah diberikan notis untuk hadir ke Ibu Pejabat Imigresen di sini bagi membantu siasatan.

Zakaria berkata kesemua yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk disiasat di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pasport 1966. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan