WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Presiden Guinea-Bissau Tanam Pokok Merbau Di Taman Botani Perdana Di Hujung Lawatan

05/06/2025 12:28 PM

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Presiden Guinea-Bissau Umaro Sissoco Embalo mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia dengan acara menanam pokok Merbau di Taman Botani Perdana di sini hari ini.

Ketibaan Presiden Embalo dan delegasinya di Taman Botani Perdana pada kira-kira 10.10 pagi disambut oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Sejurus selesai menanam pokok Merbau, atau nama saintifiknya Intsia palembanica itu di Laman Perdana, beliau kemudiannya meluangkan kira-kira 10 minit meninjau keindahan sekitar Taman Botani Perdana dengan menaiki kenderaan bugi.

Pokok Merbau diangkat sebagai pokok kebangsaan Malaysia pada Ogos 2019.

Presiden Embalo yang tiba di Malaysia Selasa lepas diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra semalam, disusuli dengan perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malaysia dan Guinea-Bissau menjalin hubungan diplomatik pada November 1974.

Hubungan dua hala antara kedua-dua negara kekal mesra, berteraskan komitmen bersama terhadap kerjasama di peringkat dua hala dan pelbagai hala termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan