KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Ketua jurulatih kebangsaan Peter Cklamovski mengakui Harimau Malaya bakal berdepan cabaran getir dalam usaha menamatkan kemarau kemenangan lebih sedekad ke atas Vietnam pada aksi Kumpulan F bagi Kelayakan Piala Asia 2027, pada 10 Jun ini.
Jurulatih kelahiran Australia itu berkata beliau menghormati Vietnam, tetapi bertekad untuk mencipta sejarah bersama Malaysia.
“Malaysia gagal menewaskan Vietnam sejak lebih 10 tahun lepas. Itu lebih daripada satu dekad dan ini adalah masa terbaik untuk kami mencipta sejarah.
“Saya sangat menghormati Vietnam. Saya tidak fokus kepada seorang pemain sahaja, saya fokus kepada sebuah pasukan. Kami tidak sabar menantikan cabaran pada 10 Jun nanti,” kata jurulatih berusia 46 tahun itu kepada pemberita pada sesi latihan skuad kebangsaan, yang turut dihadiri media Vietnam di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau turut memuji keupayaan skuad bimbingan jurulatih Korea Selatan Kim Sang Sik itu sebagai sebuah pasukan yang kuat dan berkualiti, selain memaklumkan beliau telah meneliti keseluruhan pasukan itu.
“Saya telah menonton kesemua pemain mereka. Mereka pasukan yang sangat bagus dan kuat. Saya menghormati Vietnam, kerana mereka adalah pasukan bola sepak yang berkualiti,” katanya.
Vietnam dan Malaysia kini berkongsi kedudukan teratas kumpulan dengan tiga mata selepas masing-masing memenangi perlawanan pembukaan.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menewaskan skuad Golden Star Warriors itu adalah pada tahun 2014, sebelum mengalami tujuh kekalahan dan satu seri sepanjang lapan pertemuan terakhir dalam semua kejohanan.
Pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, Vietnam melakar kemenangan 3-0 dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022, yang kini dikenali sebagai Kejohanan ASEAN.
Skuad kendalian Cklamovski dijadualkan menentang pasukan ranking ke-72 dunia Cape Verde, dalam aksi persahabatan tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam esok, selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 pada perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Khamis lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial