WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kecekapan, Semangat Berpasukan Faktor Kejayaan Malaysia Tuan Rumah Sidang Kemuncak ASEAN

29/05/2025 04:45 PM

PUTRAJAYA, 29 Mei (Bernama) -- Kecekapan, dedikasi dan semangat kerja berpasukan semua pihak menjadi faktor utama kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata segala urusan berjalan lancar hasil komitmen luar biasa daripada jentera kerajaan, termasuk rakyat yang memahami keperluan Malaysia dalam menganjurkan sidang kemuncak berkenaan.

“Saya lihat di semua peringkat, anak-anak kita, penjawat awam, semuanya hebat. Dari lapangan terbang, perbarisan, polis, Imigresen, MAHB (Malaysia Airports Holdings Bhd), pengurusan hotel, Kementerian Luar yang menyelaraskan, (hingga) Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan protokol.

“Saya pun pening dengan protokol, tapi saya hormat apa yang pegawai arahkan perdana menteri. Saya ikut (semua aturan protokol), kenapa? Sebab kita negara yang ada peraturan dan bekerja sebagai pasukan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berakhir 27 Mei selepas beberapa siri pertemuan peringkat tinggi bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dan perkongsian strategik.

Sepanjang dua hari, pemimpin ASEAN menyertai beberapa mesyuarat penting termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama, dan Sidang Kemuncak Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-16.

Anwar turut menyentuh tentang kerjasama pemimpin negara ASEAN dalam membuat keputusan kolektif tanpa menjejaskan kepentingan negara masing-masing.

“….kemudian kita kena putuskan tentang persefahaman dalam menghadapi tarif Presiden Trump (Presiden Amerika Syarikat Donald Trump). Setiap negara ada strategi masing-masing yang akan ada hubungan dua hala. Tetapi kita juga nak pertahankan kepentingan lebih 650 juta populasi negara ASEAN.

“...dan jangan ada satu keputusan dibuat oleh Malaysia merugikan negara lain, atau yang dibuat oleh Vietnam (sebagai contoh) merugikan negara lain. Kita kerja sebagai pasukan,” katanya.

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, menandakan kali kelima negara memegang jawatan pengerusi selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Sementara itu, Anwar menerusi hantaran di Facbeook berkata Malaysia berjaya menganjurkan antara persidangan paling substantif dalam sejarah ASEAN, bukan sahaja dari segi perbincangan, malah kenyataan bersama yang kukuh dan bermakna.

“Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 turut dimasyhurkan, melambangkan keupayaan Malaysia merencana pelan strategik 20 tahun ke hadapan bagi rantau ini pasca-2025.

“Kita juga mencatat kemajuan besar dalam ekonomi digital, pelaburan hijau, keterangkuman sosial serta kerjasama serantau yang lebih tersusun bersama GCC dan China. ASEAN kini tampil lebih bersatu, berpaksikan rakyat dan bersedia melangkah ke hadapan dengan tekad yang segar,” kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan