WILAYAH - TENGAH > BERITA

Spesies Kelip-Kelip Jarang Jumpa Di Hutan Bandar Bukit Kiara

06/06/2025 10:42 AM


From Soon Li Wei

Bagai menerima durian runtuh. Demikian perasaan Tan Wei Jack, seorang penolong penyelidik dan pelajar sarjana sains alam sekitar, apabila dia secara tidak sengaja menemukan spesies kelip-kelip yang mungkin kali terakhir dilihat di Malaysia kira-kira 100 tahun lalu. 

Tan, 24, tidak menduga tinjauan rutin kunang-kunang di Taman Persekutuan Bukit Kiara di sini pada 23 Okt tahun lepas, membawa kepada penemuan bersejarah itu yang juga spesimen ketiga spesies tersebut, dalam tempoh lebih seabad. 

Dikenali sebagai Pteroptyx gombakia (P.gombakia) atau kelip-kelip sayap berlipat Gombak, spesies itu merupakan yang kesembilan dikenal pasti di hutan bandar di Malaysia setakat ini.

pic-2

Kali pertama ditemukan pada 1921, spesimen yang dijumpai di Batu 31, Gombak (kini Genting Sempah), Selangor itu dibawa ke Muzium Sejarah Semula Jadi London di United Kongdom. Pada 2015, ahli entomologi Lesly Ballantyne menamakan spesies spesimen tersebut sebagai  Pteroptyx gombakia.

Berkongsi pengalamannya, Tan yang juga penuntut Monash University Malaysia, berkata pada awalnya dia menyangkakan spesimen itu daripada genus Colophotia, namun penelitian di bawah mikroskop menunjukkan ciri-ciri berbeza dengan genus tersebut.

Dia kemudian merujuk penyelia akademiknya Dr Wan Faridah Akmal Jusoh, seorang ahli taksonomi kelip-kelip dan pensyarah kanan di Fakulti Biodiversiti dan Pemuliharaan universiti berkenaan.    

“Kami dapat spesimen itu pada Oktober tahun lepas, namun saya hanya periksa secara teliti di bawah mikroskop pada Januari. Selepas merujuk dan berbincang dengan Dr Wan Faridah, pada 9 Jan kami kenal pasti spesimen sebagai P.gombakia,” katanya kepada Bernama.

Tan berkata mereka kemudian kembali ke Bukit Kiara bagi mengumpulkan lebih banyak spesimen untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang spesies itu.

“Kelip-kelip biasanya paling aktif ketika senja dan kita akan mula nampak kerlipan cahaya di atas rimbunan pokok beberapa minit selepas matahari terbenam. Kami kemudian tangkap, teliti ciri-cirinya, rekodkan spesies dan lepaskan,” jelasnya.     

 

SPESIES PAYA BAKAU

Sementara itu, menurut Wan Faridah Akmal yang juga Pengerusi Bersama Kumpulan Pakar Kelip-Kelip Suruhanjaya Kelangsungan Spesies Semula Jadi Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN SSC), P.gombakia lazimnya ditemukan di hutan paya bakau, justeru beliau terperanjat apabila Tan menunjukkan kepadanya spesimen yang ditemukan di hutan bandar Bukit Kiara tersebut.

“Ini merupakan Pteroptyx sayap berlipat pertama dijumpai di luar hutan paya bakau. Pada mulanya saya tidak tahu spesimen itu daripada spesies jarang ditemukan tersebut sehinggalah saya meneliti ciri-ciri berdasarkan imej yang diambil menggunakan mikroskop berkenaan.

 “Perbezaannya dikesan pada organ kelip-kelip yang mengeluarkan cahaya dipanggil ‘lantern’, terletak di bahagian abdomen serangga itu.

“Kedua-dua P. gombakia dan Colophotia memiliki organ cahaya bipartit, iaitu struktur organ terbahagi kepada dua bahagian yang ketara. Bagaimanapun pada P.gombakia, tidak ada ‘median carina’ iaitu rabung yang memisahkan organ itu kepada dua bahagian,” jelasnya.

pic-3

Tambah beliau, P. gombakia berasal daripada genus Pteroptyx, dikenali menerusi kerlipan secara serentak dalam kumpulan besar yang berkumpul di atas rimbunan pokok-pokok bakau.

Menurut beliau, terdapat 14 spesies Pteroptyx sayap berlipat yang dikenal pasti dengan sembilan ditemukan dalam ekosistem paya bakau. Habitat bagi lima lagi termasuk P.gombakia tidak diketahui secara jelas disebabkan kekurangan data ekologi. 

“Justeru,  P. gombakia yang dijumpai di Bukit Kiara ini ialah penemuan pertama di luar paya bakau, yang turut mencadangkan spesies ini boleh hidup di luar ekosistem itu,” kata Wan Faridah Akmal.

Pada 2019, beliau mengenal pasti satu spesimen yang tersimpan dalam koleksi Muzium Zoologi Universiti Malaya sebagai P.gombakia

Menurutnya, spesimen itu, yang kedua daripada spesies berkenaan, ditemukan di dalam hutan UM pada 1935.

“Mungkin disebabkan spesimen pertama hanya dinamakan secara rasmi pada 2015 dan saya juga mengecam spesimen kedua itu sebagai P.gombakia berdasarkan ciri-ciri pada spesimen pertama yang tersimpan di Muzium Sejarah Semula Jadi London,” katanya.

 

JENIS KELIP-KELIP

Kelip-kelip  ialah serangga daripada keluarga Lampyridae, iaitu dalam turutan Coleoptera yang turut merangkumi kumbang biopendar (bercahaya).

Wan Faridah Akmal berkata di peringkat global, terdapat lebih daripada 2,600 spesies kelip-kelip telah dikenal pasti dengan lebih 60 spesies direkodkan di Malaysia setakat ini. Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 10 ditemukan di paya bakau.

pic-4

Jelas beliau, terdapat perbezaan ketara antara kelip-kelip daratan (atau dipanggil kunang-kunang) dan paya bakau, iaitu kunang-kunang biasanya terbang bersendirian sementara kelip-kelip secara berkumpulan. 

“Daripada 10 spesies yang ditemukan di hutan paya bakau, empat tersenarai sebagai terancam di bawah Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. Empat spesies tersebut ialah kelip-kelip Comtesse (Pteroptyx bearni), Pteroptyx malaccae, Pteroptyx tener dan Pteroptyx valida,” katanya.

“Biasanya, dua hingga tiga spesies ditemukan di satu-satu pokok bakau dan serangga ini memerlukan paras air serta suhu yang sesuai untuk kelangsungan spesies mereka,” katanya.

Menurut Wan Faridah Akmal, kebanyakan kelip-kelip yang bertebangan, baik di payau bakau ataupun daratan, ialah serangga jantan sementara rata-rata yang betina tidak dapat terbang. Kelip-kelip jantan akan terbang dan menggunakan kerlipan cahaya untuk mengesan dan memikat serangga betina yang berada di tanah.

“Yang betina lazimnya mengeluarkan cahaya yang konsisten bagi menarik kelip-kelip jantan,” jelasnya, menambah tidak seperti serangga jantan yang mempunyai dua organ pengeluar cahaya, kelip-kelip betina lazimnya cuma ada satu. 

“Kelip-kelip menggunakan biopendar (bioluminescence) khususnya untuk pembiakan. Yang jantan mengeluarkan corak cahaya tersendiri sementara kelip-kelip betina pula menerbitkan cahaya secara konsisten atau corak berbeza bagi menandakan kesediaan untuk membiak,” kata beliau. 

pic-5

Di Malaysia, kawasan kelip-kelip di paya bakau lazimnya menjadi destinasi ekopelancongan, namun ramai yang terlepas pandang akan kehadiran kunang-kunang di kawasan hutan. 

Wan Faridah Akmal berkata Bukit Kiara misalnya, ialah habitat bagi lapan spesies yang telah dikenal pasti termasuk Lamprigera, iaitu kunang-kunang betina terbesar di dunia. 

(Penemuan P.gombakia di situ menjadikan sembilan spesies.)

“Kehadiran kumpulan keli-kelip ini, terutamanya yang jarang ditemukan, di hutan tengah-tengah bandar sememangnya fenomena menakjubkan,” katanya.

 

PUPUS

Menurut Wan Faridah Akmal,  tidak seperti kebanyakan spesies Pteroptyx, kelip-kelip sayap berlipat Gombak yang ditemukan oleh penuntutnya di Bukit Kiara itu tidak hidup secara berkumpulan.

“Kami tidak ada data yang banyak tentang spesies ini dan masih banyak soalan tidak terjawab. Yang membimbangkan kami ialah kita mungkin menemukan spesies ini ketika ia hampir-hampir pupus. Jadi, kita sekarang kesuntukan masa untuk mendapatkan semua jawapan itu,” katanya.  

Menurut beliau, ancaman terhadap  P. gombakia termasuk kehilangan habitat akibat pembangunan serta cahaya tiruan pada waktu malam dengan masing-masing turut menyebabkan pencemaran dan mengganggu kerlipan cahaya serangga itu yang digunakan untuk  berkomunikasi.

“Setiap penemuan spesies menunjukkan ia ke arah kepupusan, namun situasi ini masih boleh dicegah sekiranya kita bertindak pantas. Jika lebih ramai orang sedar tentang ancaman yang dihadapi oleh kelip-kelip ini mungkin lebih banyak usaha dapat dijalankan bagi melindungi habitat serangga berkenaan,” katanya.

 

KEKURANGAN KAJIAN

Wan Faridah Akmal berkata di sebalik potensi kelip-kelip sebagai aset ekopelancongan, satu daripada cabaran utama penyelidik di Malaysia ialah ketiadaan inventori spesies serta koleksi sejarah semula jadi yang boleh berperanan sebagai arkib kepelbagaian serangga. 

Katanya penyelidikan tentang kelip-kelip di Malaysia sangat terhad, menambahkan lagi kesukaran usaha pemuliharaan.

“Saya sebenarnya tidak ada impian untuk menjadi ahli entomologi sehinggalah saya ‘berkenalan’ dengan kelip-kelip semasa menjalankan kerja lapangan di Kampung Sepetang, Perak bagi projek tahun akhir saya. Ketika itu, pada 2006,  saya pelajar ijazah pertama dalam bidang sains alam sekitar di Universiti Putra Malaysia.

“Dari situ timbul rasa ingin tahu dan saya maklumkan penyelia yang saya ingin jalankan kajian tentang kelip-kelip, namun beliau berkata tidak ada pakar yang boleh mengajar saya tentang entomologi ketika itu. Beliau kemudian menyarankan saya menjalankan pemetaan untuk ekopelancongan dan itu yang membawa saya melanjutkan pengajian peringkat sarjana dan seterusnya doktor falsafah (PhD).

“Oleh sebab tidak ada kajian tempatan, saya terpaksa bermula dari bawah, membina pangkalan data sendiri dengan mengumpulkan spesies dari seluruh Malaysia,” katanya, menambah kajiannya menumpukan bukan sahaja pada biodiversiti tetapi juga kelip-kelip sebagai warisan alam semula jadi. 

pic-6

Ujar beliau, disebabkan oleh amalan pada era penjajahan, banyak spesimen asal Malaysia dibawa keluar dan disimpan di institusi luar negara.

“Kita tidak ada muzium khusus atau maklumat asas, jadi saya terpaksa ke negara Barat seperti Belanda, Perancis dan London untuk perbandingan dan rujukan spesimen,” katanya, menambah proses mengenal pasti dan mengesahkan penemuan baharu mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun.

“Oleh sebab itu juga, walaupun ada penemuan, kita sukar hendak sahkan sama ada itu spesies baharu atau salinan spesies sedia ada,” tambahnya.  

Wan Faridah berharap dapat membangunkan pangkalan data yang luas untuk dijadikan rujukan oleh generasi akan datang.

“Matlamat saya ialah untuk menubuhkan satu inventori spesies kelip-kelip agar kita dapat meneruskan legasi melindungi biodiversiti serangga itu di Malaysia,” katanya.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan