KUCHING, 27 Mei (Bernama) -- Sebanyak 12 syarikat swasta telah menunjukkan minat untuk menjalankan projek penanaman padi secara komersial di Sarawak, yang turut nerupakan strategi kerajaan negeri bagi mencapai sasarannya menjadi pengeksport beras bersih menjelang 2030.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Serantau Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata semua projek ini akan dijalankan ke atas tanah neger, menggunakan model Reka Bentuk, Bina, Kendali dan Pindah (DBOT).
"Ini adalah sebahagian daripada pelan kami bagi memajukan serta mengkomersialkan pertanian padi dengan melibatkan sektor awam dan swasta," katanya ketika penggulungan untuk kementeriannya di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Model DBOT ini menggabungkan reka bentuk serta pembinaan infrastruktur yang diperlukan, penggunaan teknologi moden, jentera untuk pertanian dan akhirnya, pemindahan pengurusan kepada pihak berkepentingan tempatan bagi kemampanan jangka panjang.
"Sekarang ini, Setiausaha Kewangan Negeri menyediakan garis panduan DBOT dan prosedur operasi standard untuk memastikan rangka kerja yang jelas ke atas projek berkenaan," katanya.
Sementara itu, penanaman padi secara besar-besaran di tanah hak adat asli (NCR) akan dilaksanakan melalui penyertaan sektor swasta, sama ada melalui model pajakan atau usaha sama.
Dr Rundi berkata ini memerlukan penglibatan dan persetujuan dari pemilik tanah sebagai penglibatan aktif selain sokongan berterusan dari mereka, serta pihak berkepentingan lain adalah penting dalam mencapai kecukupan diri di Sarawak.
"Melalui perpaduan, usaha kolektif dan dengan izin Tuhan, kami akan mampu mencapai matlamat kami dalam industri pembangunan padi untuk daya tahan ekonomi termasuk keselamatan makanan," katanya lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial