WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Harimau Malaya Ikat Pasukan Ke-72 Dunia Cape Verde

29/05/2025 11:51 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Malaysia berada dalam kelas tersendiri apabila mengikat pasukan di ranking ke-72 dunia, Cape Verde 1-1 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Penyerang gantian Paulo Josue meledak gol penyamaan kira-kira 10 minit sebelum tamat permainan untuk menyelamatkan maruah skuad Harimau Malaya di hadapan penyokong sendiri, selepas pemain pertahanan Sidny Lopes Cabral meletakkan Cape Verde di depan seawal separuh masa pertama.

Pada pertembungan sulung antara kedua-dua pasukan di pentas kompetitif itu, jurulatih Peter Cklamovski  mempertaruhkan tujuh pemain tempatan dalam kesebelasan utama, manakala pemain naturalisasi terbaharu, Gabriel Palmero, diberi peluang membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan.

Skuad negara memberi amaran awal apabila percubaan Palmero dari luar kotak penalti terkena tiang pada minit ketujuh, namun Cape Verde terlebih dahulu membuka tirai jaringan seminit kemudian menerusi Cabral yang bijak melepasi kawalan Daniel Ting sebelum merembat deras dari jarak dekat.

Cape Verde terus menguasai permainan, melancarkan beberapa serangan berbahaya yang memaksa benteng pertahanan negara diketuai kapten Matthew Davies dan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed bekerja keras mengekang asakan.

Bersambung babak kedua, Malaysia hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang Faisal Abdul Halim pada minit ke-61, namun ditepis keluar oleh penjaga gol Vozinha Dias, sebelum Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili gagal menyambar bola di garisan gol.

Arif Aiman Mohd Hanapi turut berpeluang mencetak nama selaku penjaring, namun percubaannya dalam situasi satu lawan satu sekadar terkena kaki Dias pada minit ke-69.

Malaysia akhirnya menarik nafas lega apabila Josue menyamakan kedudukan pada minit ke-79, tenang menyempurnakan hantaran Quentin Cheng.

Josue sekali lagi hampir muncul wira negara pada minit ke-86, namun rembatannya dari jarak dekat ditepis Dias, menyaksikan keputusan 1-1 kekal sehingga tamat permainan.

Malaysia dijadual bertemu Cape Verde sekali lagi pada perlawanan latihan tertutup di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 3 Jun ini.

Dua perlawanan menentang Cape Verde menjadi medan persiapan skuad negara menjelang aksi kedua Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional, 10 Jun ini.

Malaysia dan Vietnam kini berkongsi tiga mata di dua tangga teratas kumpulan selepas satu perlawanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan