WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sarawak Rancang Wujud Zon Perdagangan Bebas Contohi Model Jebel Ali

28/05/2025 06:12 PM

KUCHING, 28 Mei (Bernama) -- Sarawak berpotensi besar menjadi hab perdagangan serantau melalui pelaksanaan model Zon Perdagangan Bebas (FTZ), kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan berkata Sarawak boleh mencontohi kejayaan Jebel Ali di Emiriah Arab Bersatu, sebuah pelabuhan model bersepadu dengan FTZ yang berjaya menarik lebih 11,000 syarikat dari seluruh dunia dan kini menyumbang sebanyak 36 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Dubai.

Beliau berkata bagi mencontohi kejayaan itu kerajaan Sarawak kini melaksanakan Pelan Induk Pelabuhan Sarawak, satu inisiatif yang bertujuan untuk mentransformasikan pelabuhan-pelabuhan negeri menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi, sekali gus menjadikan Sarawak sebagai pintu masuk ke Borneo, rantau yang lebih luas dan pasaran global.

“Pelan ini bertujuan untuk mewujudkan sistem pelabuhan yang moden, cekap dan bersepadu serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa, sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Negeri Sarawak (PCDS) 2030.

“Transformasi ini akan digerakkan oleh empat tonggak utama: Penyeragaman tadbir urus; Pemodenan dan pembangunan infrastruktur pelabuhan serta FTZ; memacu kepelbagaian ekonomi; dan Pengukuhan hubungan serantau dan global,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

Uggah berkata Pelan Induk Pelabuhan Sarawak itu juga merupakan inisiatif transformasi pertama yang bersejarah, yang meletakkan Sarawak sebagai pemain utama dalam perdagangan dan logistik global.

“Ini bukan sekadar pelan pembangunan, tetapi merupakan satu perubahan landskap ekonomi Sarawak, yang akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan mampan yang tidak lagi bergantung kepada sumber asli semata-mata.

“Dengan memperkukuh infrastruktur pelabuhan dan jaringan perhubungan, kita membuka peluang baharu kepada perniagaan, memperkasakan industri tempatan, dan membuka pintu Sarawak ke persada global dunia,” katanya. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan