KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyita pelbagai aset bernilai RM32 juta dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri susulan siasatan melibatkan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Menurut sumber, antara barangan yang disita ialah tas tangan, barang kemas, kenderaan mewah, jam tangan dan wang tunai selepas Bahagian Siasatan SPRM menggeledah dua kediaman milik individu itu di ibu negara.
Beliau memaklumkan hasil penggeledahan itu, SPRM menyita 217 utas jam tangan mewah pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai kira-kira RM5 juta, 27 tas tangan (lebih RM1 juta) dan barang kemas (lebih RM4 juta).
"Menerusi penggeledahan itu juga, SPRM menyita sembilan unit kenderaan mewah seperti Bentley, Mercedes-Benz dan Range Rover bernilai hampir RM7 juta," katanya.
SPRM turut menemukan sebuah stor simpanan pelbagai jenis minuman berakohol mewah di satu lagi kediaman yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta dan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.
Sumber itu memaklumkan SPRM juga menyita sebuah lagi unit kediaman mewah di ibu negara dianggarkan bernilai sekitar RM12 juta yang dipercayai milik individu berkenaan.
Beliau berkata kesemua barangan dan aset disita bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial