KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Seorang penuntut universiti warga China didenda RM17,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menipu ibu rakannya dengan membuat lakonan penculikan bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah RM2.9 juta.
Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu terhadap Zhang Runbao, 23, setelah pelajar sebuah universiti di Singapura itu menukar pengakuan kepada bersalah, selepas pertuduhan pilihan dibacakan semula kepadanya semasa sebutan kes hari ini.
Hakim Azrul turut memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan alternatif, Zhang didakwa menipu Cheng Zhiwen yang merupakan ibu rakannya Ye Yingxi dengan membuat panggilan dan menunjukkan video Ye diculik, badannya dalam keadaan separuh bogel, tangan diikat, mulut ditutup dengan pita pelekat berwarna hitam, leher dicekik, badan dipijak dan mukanya dituang air.
Pelajar lelaki itu kemudian membuat ugutan dan pemerasan dengan meminta Cheng memasukkan duit tebusan sebanyak lima juta Yuan (RM2.9 juta), ke dalam satu akaun di China dengan kesemua perbuatan itu ialah lakonan bagi mendorong Cheng menyerahkan wang tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini, antara 11.44 pagi hingga 9.15 malam, 2 Mei lepas mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Syafina Radzuan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap Zhang, kerana telah menyusahkan banyak pihak selain membuang masa dan kos mahkamah serta pihak polis.
“Bagi tertuduh kedua, pendakwaan memohon dia dilepas tanpa dibebaskan memandangkan Zhang telah mengaku bersalah," katanya.
Peguam Ernie Sulastri Ahmad yang mewakili Zhang memohon hukuman ringan, atas alasan anak guamnya merupakan pesalah kali pertama dan pengakuan bersalahnya telah menjimatkan kos dan masa mahkamah.
“Selepas kejadian ini, tertuduh berhasrat untuk menyambung pengajiannya yang dijangka berakhir pada Jun 2026,” katanya.
Sementara itu, peguam Ramesh Sivakumar yang mewakili Ye memohon agar mahkamah melepas dan membebaskan anak guamnya, selepas memaklumkan Cheng enggan meneruskan kes dan menarik balik laporan polis terhadap anaknya.
Hakim Azrul kemudiannya membenarkan permohonan pendakwaan dan memerintahkan Ye dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial