WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Menteri ASEAN Puji Peranan Proaktif Malaysia Dalam Tangani Krisis Myanmar

24/05/2025 11:17 PM

Oleh Samantha Tan

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Menteri Luar ASEAN memuji kepimpinan proaktif Malaysia dalam menggerakkan usaha untuk melaksanakan Konsensus Lima Perkara (5PC) dan memudah cara dialog untuk memberi tumpuan kepada krisis di Myanmar.

Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Enrique A. Manalo berkata sesi rundingan tidak rasmi dan rundingan tidak rasmi lanjutan mengenai pelaksanaan 5PC diadakan hari ini bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini yang berlangsung dengan lancar.

“Ya, ia (rundingan) berjalan dengan baik. Kami mengekalkan (komitmen kami) terhadap 5PC dan bersetuju ASEAN akan terus bekerja keras.

“Kami mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas usahanya dalam menggerakkan suatu proses ke hadapan yang mungkin dialog sebenar dapat diadakan antara pihak-pihak yang berkenaan,” katanya kepada Bernama dan TV3 selepas menghadiri sesi rundingan tersebut. 

Menteri Luar Laos Thongsavanh Phomvihane turut menyatakan penghargaan atas pendekatan berani dan proaktif Malaysia dalam menangani isu Myanmar, menyatakan ASEAN kekal memainkan peranan secara aktif dalam usaha mencapai keamanan di negara itu.

Ditanya mengenai permohonan Timor-Leste untuk menyertai ASEAN, Thongsavanh berkata perkara tersebut bukan di bawah bidang kuasa beliau untuk membuat keputusan tetapi “kerjasama yang berterusan akan menjadi elemen penting” dan percaya ASEAN terus menyokong perjalanan Timor-Leste.

Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa yang turut memuji kepimpinan Malaysia, berkata: “Saya ingin memberikan penghargaan kepada pengerusi kerana mengambil langkah proaktif.”

Beliau berkata Malaysia, sebagai pengerusi ASEAN, telah menunjukkan tanggungjawab dalam menangani isu Myanmar dan memastikan perbincangan berterusan melalui proses ASEAN.

Sesi rundingan tidak rasmi yang pertama telah dihadiri oleh pengerusi ASEAN terdahulu, semasa dan akan datang – Laos, Malaysia dan Filipina – manakala rundingan tidak rasmi lanjutan melibatkan semua Menteri Luar ASEAN, kecuali Myanmar.

Kedua-dua sesi itu dipengerusikan oleh Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan dialog berasingan dengan pemimpin junta Myanmar Min Aung Hlaing dan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) yang mewakili pembangkang, merupakan langkah penting ke arah memupuk kerjasama secara langsung antara pihak-pihak yang berkenaan.

Langkah itu dilihat sebagai kejayaan yang berpotensi dalam usaha pengantaraan ASEAN.

5PC telah diterima pakai oleh ASEAN pada April 2021 susulan rampasan kuasa tentera di Myanmar pada 1 Februari tahun tersebut. Ia menggesa pemberhentian segera keganasan, mengadakan dialog antara semua pihak, pelantikan utusan khas, membenarkan bantuan kemanusiaan dan utusan diberikan akses kepada semua pihak berkepentingan di Myanmar.

Di sebalik kepentingannya, pelaksanaan konsensus itu sebahagian besarnya terhenti disebabkan ketidakpatuhan pihak junta yang berterusan, dengan isu itu kekal menjadi kebimbangan utama dalam rundingan berterusan ASEAN dengan Myanmar.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’. Tahun ini juga merupakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN, selepas pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA


 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan