SUBANG, 25 Mei (Bernama) -- Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berangkat tiba di Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang diadakan dari 26 hingga 27 Mei.
Pesawat khas yang membawa baginda dan delegasi mendarat di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, di sini pada 4.30 petang.
Keberangkatan tiba Sultan Hassanal Bolkiah disambut oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Sejurus mendarat, Sultan Brunei kemudian memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) yang diketuai Kapten Muhammad Syafiq Najmi Mazlan.
Kehadiran baginda ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara mengukuhkan komitmen Brunei terhadap kerjasama serantau.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 di Vientiane, Laos pada Oktober 2024, Sultan Hassanal Bolkiah antara lain menekankan kepentingan menangani perubahan iklim dan memperkukuh solidariti serantau.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung di KLCC pada 26 dan 27 Mei ini, serta Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan buat julung-julung kalinya.
Dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, edisi tahun ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN, selepas menerajui blok serantau itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial