WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Perdagangan Intra-ASEAN Elemen Penting Tingkatkan Permintaan Minyak Sawit Dalam Mendepani Cabaran Global - Fadillah

25/05/2025 07:36 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed & Aisha Hani Nor Azmir

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Aktiviti ekonomi intra-ASEAN yang kukuh penting untuk memacu permintaan terhadap produk sawit dalam persekitaran peraturan yang semakin ketat, ketidaktentuan tarif dan cabaran ekonomi global yang lain, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata dengan memberi tumpuan kepada kerjasama dan perdagangan intra-ASEAN, lebih banyak aktiviti ekonomi antara negara anggota dapat dirangsang dalam sektor huluan dan hiliran, terutamanya dalam memastikan enjin pertumbuhan berdaya tahan dan mampu mengekalkan kemajuan secara kendiri.

“Malaysia dan Indonesia merupakan negara pengeluar utama minyak sawit…dengan pelbagai sekatan dari seluruh dunia, termasuk pengenalan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), terdapat sekatan terhadap kita untuk mengeksport produk ke pasaran luar negara.

“Jika kita dapat memberi tumpuan kepada ASEAN, kita mewujudkan lebih banyak aktiviti antara negara anggota ASEAN supaya dapat mengekalkan aktiviti ekonomi kita dan memberi manfaat kepada seluruh penduduk ASEAN,” katanya pada Luncheon Power Talk Shared Prosperity: The New Imperative for ASEAN’s Economic Growth pada Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN 2025 (AWES 2025) di hotel (Shangri-La) di sini hari ini. 

Fadillah turut menggesa kepada standard yang lebih selaras dalam kalangan negara anggota ASEAN melalui mengurangkan halangan bukan tarif, mengukuhkan rantaian bekalan dan membuka kepada semua negara anggota manfaat pertumbuhan berkualiti.

“Memperkukuh ASEAN bukan sekadar strategik, ia perlu untuk melindungi kemakmuran bersama kita dan memberikan manfaat kepada seluruh penduduk ASEAN,” katanya, sambil menambah perdagangan serantau, pelaburan dan kesalinghubungan perlu dipertingkatkan untuk membina pasaran tunggal yang lebih berdaya tahan dan kompetitif.

Fadillah berkata aktiviti perdagangan rentas sempadan yang aktif dapat dilihat dalam kalangan Thailand, Malaysia dan Indonesia.

“Usaha sedemikian perlu dipermudahkan untuk memastikan perdagangan rentas sempadan yang lebih baik diwujudkan untuk manfaat warga ASEAN,” katanya.

Sidang kemuncak selama dua hari itu, yang bermula Sabtu, diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46. Ia dihadiri lebih 700 perwakilan yang mewakili kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil di seluruh ASEAN.

Bertemakan “Memperkasakan Wanita, Mencergaskan ASEAN: Merintis Integrasi Ekonomi bagi Masa Depan yang Lebih Berdaya Tahan”, AWES menekankan keperluan mendesak untuk meletakkan wanita di barisan hadapan dalam transformasi ekonomi ASEAN, khususnya dalam menangani cabaran semasa seperti perang tarif global, transformasi digital dan pembangunan mampan.

Ia turut menampilkan perbincangan dan sesi percambahan fikiran strategik, makmal kepimpinan dan program bimbingan.

UOB Malaysia ialah penaja utama AWES 2025, dengan Kuok Brothers Sdn Bhd sebagai rakan kongsi pemerkasaan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan