JOHOR BAHRU, 25 Mei (Bernama) -- Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim bertekad untuk membalas kepercayaan ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski sekiranya diberikan peluang menyertai kesebelasan utama dalam aksi akan datang.
Faisal berkata beliau kini berada dalam tahap kesiapsiagaan sepenuhnya dan mahu menjadikan peluang kali ini sebagai medan kebangkitan selepas melalui detik sukar dalam kariernya.
"Alhamdulillah... saya terima panggilan lagi daripada jurulatih. Kali ini saya lebih bersedia dan mahu kembali kepada prestasi sebenar.
"Saya juga mahu melupakan detik hitam yang pernah berlaku dan akan beri sepenuh komitmen. Tapi segala keputusan tetap di tangan jurulatih," katanya ketika ditemui pada sidang media kem latihan fasa dua skuad kebangsaan di sini hari ini.
Harimau Malaya akan mengadakan aksi persahabatan Tier 1 bertemu Cape Verde di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Khamis ini dan aksi kedua secara tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 3 Jun.
Ini adalah sebagai persiapan menghadapi perlawanan kedua pusingan ketiga Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2026/2027 menentang Vietnam di SNBJ, 10 Jun depan.
Sementara itu, Cklamovski berpuas hati dengan kem latihan yang kini memasuki fasa kedua di Johor Bahru, dengan fokus kepada pembentukan taktikal serta penyertaan beberapa pemain Johor Darul Ta'zim (JDT).
Jurulatih kelahiran Australia itu turut memaklumkan, pemain naturalisasi Endrick Dos Santos kini dalam proses pemulihan selepas hanya berlatih sehari, manakala penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed berada dalam keadaan fizikal memuaskan.
“Lima penjaga gol dipanggil, namun hanya empat menjalani latihan untuk fasa kedua menjelang aksi menentang Cape Verde.
“Haziq Nadzli pula dilepaskan seketika untuk sertai skuad Asian All0Stars menentang Manchester United pada Rabu ini sebelum kembali menyertai kem kebangsaan,”katanya.
Nadzli pula dilepaskan seketika untuk sertai skuad Asian All-Stars menentang Manchester United pada 28 Mei, sebelum kembali menyertai kem kebangsaan,” katanya.
Turut menyertai latihan kali ini ialah Rodrigo Holgado dan Gabriel Palmeiro, dua pemain warisan yang buat pertama kali dipanggil menjelang aksi penting menentang Vietnam dalam Kelayakan Piala Asia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial