SUKAN > BERITA

Suntikan Semangat Yang Diperlukan Jun Hao - Jonassen

31/05/2025 11:49 AM

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Walaupun pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao tersingkir di peringkat suku akhir Terbuka Singapura 2025 selepas kecundang di tangan juara dunia Kunlavut Vitidsarn dari Thailand, namun persembahannya tetap menonjolkan banyak aspek positif.

Jun Hao tewas kepada Kunlavut dengan keputusan 13-21, 11-21 dalam kejohanan Super 750 yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura, semalam.

Namun, penampilan sulungnya di peringkat suku akhir pada tahun ini, berkemungkinan menjadi titik perubahan selepas beberapa kali tersingkir awal dalam kejohanan terdahulu.

Pengarah kejurulatihan perseorangan negara Kenneth Jonassen kagum dan terkejut dengan pendekatan pemain nombor 25 dunia itu dalam kejohanan berkenaan, khususnya ketika menundukkan pemain nombor lima dunia Jonatan Christie dari Indonesia 21-16, 21-19 pada pusingan kedua sekali gus memperlihatkan potensi sebenar Jun Hao.

“Kemenangan itu seharusnya menjadi pemangkin keyakinan dan kepercayaan terhadap kemampuan diri sendiri.  Apa yang sedang diusahakan ini menunjukkan perkembangan positif dan selebihnya bergantung kepada kebijaksanaan menyusun strategi di gelanggang.

“Menewaskan pemain bertaraf dunia adalah titik permulaan untuk membina keyakinan diri. Sebagai seorang pemain yang sedang melalui fasa kemajuan, saya amat berharap proses ini akan terus menyemai keyakinan dalam dirinya,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan.

Dengan perkembangan yang memberangsangkan, tumpuan kini terarah kepada sejauh mana Jun Hao mampu melangkah dalam Terbuka Indonesia 2025 yang bakal berlangsung.

Kejohanan Super 1000 itu bakal berlangsung di Istora Senayan, Jakarta, bermula Selasa depan hingga 8 Jun.

Pemain berusia 25 tahun itu akan memulakan kempen Terbuka Indonesia menentang pemain China Lei Lan Xi, yang rekod pertemuan kedua-dua pemain kini terikat 1-1. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan