SUKAN > BERITA

Kecederaan Tze Yong Kekal Misteri, BAM Ambil Pendekatan 'Tunggu Dan Lihat'

30/05/2025 06:47 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Adakah pemain badminton perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong mengalami kekejangan atau kecederaan lutut yang serius seperti koyakan ligamen krusiata anterior (ACL)?

Buat masa ini, spekulasi bertiup kencang pemain berusia 25 tahun itu mungkin mengalami kecederaan ACL yang akan menyebabkannya berehat panjang sekali lagi.

Bagaimanapun, kecederaan sebenar Tze Yong masih menjadi tanda tanya selepas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan Kenneth Jonassen enggan mengulas lanjut dan berkata maklumat penuh hanya akan didedahkan selepas memperoleh penilaian daripada pakar.

“Saya tidak boleh komen mengenai kecederaan pemain. Saya perlu mendapatkan semua maklumat daripada pakar terlebih dahulu, kemudian barulah kami akan kongsi perkembangan atau langkah seterusnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi latihan di sini hari ini.

Terdahulu, media tempatan melaporkan Tze Yong mungkin terpaksa berehat bagi tempoh yang lama susulan kecederaan ACL yang dialaminya semasa Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil minggu lepas.

Pada 22 Mei lepas, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemenang pingat perak perseorangan lelaki Sukan Komanwel 2022 itu mengalami kecederaan lutut ketika beraksi pada pusingan pertama Masters Malaysia 2025 menentang pemain Hong Kong Ng Ka Long.

Penilaian perubatan awal mendapati Tze Yong mengalami kekejangan pada lutut dan perlu direhatkan sekurang-kurangnya dua minggu, tertakluk kepada penilaian lanjut.

Tze Yong yang baru sahaja beraksi selepas berehat panjang akibat kecederaan sebelum ini, mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan positif sebelum tergelincir ketika menentang Ka Long, sekali gus memaksanya menarik diri ketika sedang mendahului 4-3 pada set kedua selepas memenangi set pertama 22-20.

Pemain kelahiran Johor itu beberapa kali ditimpa kecederaan sejak tahun lepas, termasuk koyakan otot pada bahagian belakang diikuti kecederaan tulang belakang, yang memaksanya menjalani tempoh rehat dan pemulihan yang panjang sebelum kembali ke gelanggang pada Kejohanan Badminton Asia 2025 di Ningbo, China bulan lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan