SUKAN > BERITA

Aaron-Wooi Yik Rangkul Kejuaraan Ketiga Musim Ini Di Singapura

01/06/2025 11:39 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 1 Jun (Bernama) --Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan rentak cemerlang apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk merangkul kejuaraan Terbuka Singapura 2025, sekali gus menjulang gelaran ketiga mereka tahun ini.

Dalam aksi final keempat musim ini, bekas juara dunia itu dan pasangan No.3 dunia menewaskan beregu pilihan kelima dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae 15-21, 21-18, 21-19 dalam pertarungan sengit selama 65 minit di Stadium Tertutup Singapura.

Lebih manis, ia juga menamatkan kemarau 17 tahun Malaysia untuk muncul juara beregu lelaki di Terbuka Singapura sejak kali terakhir dimenangi pasangan Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari pada edisi 2008.

Pertembungan mendebarkan sehingga set penentuan itu menyaksikan pasangan negara itu melunaskan dendam terhadap lawan berkenaan yang menyingkirkan mereka di separuh akhir Terbuka India, Januari llepas.

Selaku juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak USD74,000 (RM314,997), manakala Won Ho-Seung Jae menerima USD35,000 (RM148,985) selaku naib juara.

Ini adalah gelaran ketiga mereka musim ini selepas memenangi KejohananBadminton Asia di China (April) dan Terbuka Thailand (Mei).

Mengulas perlawanan, Wooi Yik berkata mereka terpaksa bekerja keras selepas tewas set pertama.

“Keadaan mereka sangat baik. Lepas set pertama, saya tahu kami perlu tingkatkan kelajuan permainan. Jadi betul-betul lawan untuk setiap mata,”katanya kepada media .

Wooi Yik turut menghargai peranan jurulatih Herry Iman Pierngadi yang banyak membantu memperkemaskan aspek serangan mereka sejak menyertai skuad kebangsaan.

“Coach memang main peranan yang besar. Dia ada idea yang dapat sempurnakan cara permainan kami yang sebelum ni tak konsisten. Tapi, perjalanan masih panjang, kami masih ada misi yang besar tahun ini jadi saya rasa ini baru permulaan,”katanya.

Aaron pula mengakui bimbingan Herry turut memberi impak besar dari segi mental dan motivasi dalam sesi latihan dan pertandingan.

“Dia baru bersama kami tiga bulan, tapi kami nampak peningkatan. Dia banyak beri keyakinan, tak beri tekanan dan sentiasa ingatkan kami untuk kekal gembira ketika latihan,” katanya.

Seterusnya, fokus beregu negara itu adalah Terbuka Indonesia yang dijadual berlangsung dari Selasa ini i di Istora Senayan, Jakarta.

Dalam pusingan pertama kejohanan Super 1000 itu, Aaron-Wooi Yik akan sekali lagi berdepan pasangan Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard, yang mereka tewaskan di sini.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia menjuarai Terbuka Singapura adalah pada 2018 menerusi beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

 

KEPUTUSAN FINAL LAIN:

(Nota: Tanda [ ] menunjukkan pemain pilihan)

 

Perseorangan Lelaki:

[2] Kunlavut Vitidsarn (THA) mn Lu Guang Zu (CHN) 21-6, 21-10

 

Perseorangan Wanita:

-------------------------------

[5] Chen Yu Fei (CHN) mn [2] Wang Zhi Yi (CHN) 21-11, 21-11

 

Beregu Wanita:

----------------------

 [7] Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong (KOR) mn [5] Rin Iwanaga-Kie Nakanishi (JPN) 21-16, 21-14

 

Beregu Campuran:

[6] Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran (THA) mn  [2] Tang Chun Man-Tse Ying Suet (HKG) 21-16, 21-9.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan