KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi tidak menafikan pendekatan kejurulatihan yang digunakannya di Malaysia dan Indonesia hampir serupa namun gaya permainan setiap pemain berbeza hasil adaptasi dan pemahaman terhadap falsafah taktikal yang dibawa beliau.
Jurulatih berpengalaman berusia 62 tahun itu yang menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Februari lepas berkata perubahan paling ketara dapat dilihat dalam perancangan permainan yang kini jauh lebih tersusun dan strategik.
“Saya rasa program yang saya buat untuk Indonesia dan Malaysia hampir sama tapi mungkin peminat badminton Malaysia boleh lihat perbezaan cara mereka bermain.
“Jadi, strategi permainannya menurut saya sekarang sudah berbeza berbanding yang dulu. Ini pendapat saya, tapi penilaian yang lebih adil adalah daripada masyarakat, khususnya penggemar badminton tanah air,” katanya kepada pemberita selepas aksi final Masters Malaysia 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil semalam.
Dalam aksi final semalam, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menamatkan penantian 12 tahun Malaysia meraih gelaran juara beregu lelaki Masters Malaysia dengan mengejutkan juara dunia 2022 yang juga rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, menerusi kemenangan 21-12, 15-21, 21-16 dalam perlawanan berlangsung selama 50 minit.
“Bagi saya penampilan kedua-dua pasangan dari Malaysia ini di final memang cukup baik dan mengagumkan.
“Kalau tengok daripada beberapa kejohanan sebelum ini, prestasi mereka (Wei Chong-Kai Wun) di Masters Malaysia sangat konsisten daripada pusingan pertama hingga ke final. Jadi prestasi mereka di Malaysia Masters ini adalah yang terbaik,” katanya.
Ditanya bagaimana beliau membantu Wei Chong-Kai Wun mengharungi detik sukar selepas menjuarai Masters Indonesia 2025 pada Januari lepas diikuti prestasi menurun apabila tersingkir awal dalam empat kejohanan berturut-turut, Herry berkata beliau meminta pasangan ranking kelapan dunia itu menganalisis rakaman video perlawanan mereka.
“Ya, selepas Indonesia mereka sebenarnya bermain dengan baik tapi selepas itu dalam beberapa kejohanan prestasi mereka boleh dikatakan agak menurun. Jadi, kami buat penilaian dan menonton semula video perlawanan mereka.
“Saya tunjukkan perbandingan cara mereka bermain ketika menjuarai Indonesia Masters dan kejohanan selepas itu. Memang ada perbezaan dari segi corak permainan, jadi saya minta mereka tengok semula video dan analisis sendiri. Akhirnya mereka sedar dan mula jumpa semula strategi permainan terbaik mereka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial