KANGAR, 31 Mei (Bernama) -- Lebih 60 tumbuhan herba dikenal pasti tumbuh di kawasan Banjaran Nakawan di Perlis yang memberikan nilai tambah kepada keunikan alam semula jadi banjaran itu sekali gus berpotensi diterokai dengan lestari sebagai 'bank genetik’ untuk manfaat masa depan.
Sehubungan dengan itu, Pengarah Perhutanan Perlis Ag Shaffie Ag Ahmadni menyarankan kerjasama penyelidik dan institusi pengajian tinggi meneroka khazanah tumbuhan herba di banjaran berkenaan secara saintifik dalam usaha memastikan keselamatan dan keberkesanan penggunaan herba berkenaan.
“Antara herba dikenal pasti di kawasan ini ialah tongkat ali, kacip fatimah, halban, serta beberapa spesies tempatan yang sukar ditemukan di tempat lain.
"Sebahagian besar tumbuhan herba ini telah digunakan secara tradisional sejak dahulu dan kini diusahakan oleh komuniti setempat seperti Komuniti Wang Gunung untuk dijadikan produk kesihatan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Ag Shaffie menghadiri Nakawan Rainforest Festival sempena Hari Hutan Antarabangsa bagi tahun ini peringkat negeri yang berlangsung empat hari bermula 29 Mei lepas di Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat dekat sini.
Pada 30 April lepas, Bernama melaporkan Banjaran Nakawan yang kaya dengan tarikan alam semula jadi bakal menjadi antara tumpuan kerajaan negeri untuk digiatkan promosi bagi menarik kedatangan pelancong domestik.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya dan Pembangunan Luar Bandar Perlis Abu Bakar Hamzah dipetik sebagai berkata kawasan yang merangkumi Wang Gunung hingga ke Kampung Wai, Kuala Perlis mempunyai pelbagai keunikan, termasuk formasi batu kapur yang jarang ditemukan serta lebih 1,000 gua belum diteroka sepenuhnya.
Ag Shaffie berkata pihaknya dengan kerjasama Fakulti Perniagaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sedang melaksanakan inisiatif ‘Perlis Forest Community’ (Perlis Force) bagi memperkasakan ekonomi komuniti melalui pemasaran produk hutan secara sistematik.
"Penglibatan komuniti setempat penting bukan sahaja dalam memasarkan hasil hutan, malah menjadi ‘mata dan telinga’ jabatan bagi mencegah pencerobohan dan pembalakan haram. Komuniti Wang Gunung akan diserap dalam program ini yang turut melibatkan Komuniti Bukit Jernih, Perlis Climbers, dan Nature Explorers,” katanya.
Sementara itu, beliau menarik perhatian bahawa madu lebah dari Banjaran Nakawan juga unik kerana lebahnya bersarang di batu kapur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial