PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari

19/06/2025 02:42 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan aliran penurunan pada tengah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung yang berterusan dalam situasi kekurangan sentimen pasaran yang positif, kata penganalisis. 

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.58 peratus atau 8.77 mata kepada 1,5103.18 daripada 1,511.95 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.99 mata kepada 1,512.94 dan turun naik antara 1,501.68 dan 1,512.94 sepanjang sesi pagi.

Pasaran secara menyeluruh negatif, dengan 609 kaunter rugi mengatasi 218 kaunter untung. Sejumlah 392 kaunter tidak berubah manakala 1,204 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.80 bilion saham bernilai RM765.04 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata pihaknya terus mengekalkan pendirian positif terhadap sektor utiliti, pembinaan dan solar berikutan komitmen Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebanyak RM43 bilion untuk menaik taraf grid nasional.

Ia berpendapat pendirian TNB didorong oleh permintaan terhadap pusat data yang meningkat dan peralihan negara ke arah tenaga boleh baharu.

Katanya FBM KLCI terus berada di bawah garisan purata bergerak (MA), dengan petunjuk teknikal menunjukkan tanda-tanda kelembapan.

“Paras halangan untuk FBM KLCI dijangka pada 1,526 hingga 1,531 mata manakala paras sokongan pada 1,491 hingga 1,496 mata,” katanya dalam nota hari ini. 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot 4.0 sen kepada RM9.58, Tenaga dan IHH Healthcare, masing-masing kekal tidak berubah pada RM14.22 dan RM6.85, Public Bank berkurangan 3.0 sen kepada RM4.21 dan CIMB susut 5.0 sen kepada RM6.85.

Bagi saham paling aktif, PUC merosot setengah sen kepada 2.5 sen, SNS Network Technology naik 1.5 sen kepada 55 sen, Tanco dan MYEG, masing-masing berkurangan 1.5 sen kepada 96.5 sen dan 91.5 sen serta Borneo Oil susut setengah sen kepada setengah sen. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 64.15 mata kepada 11,237.65, Indeks FBMT 100 merosot 61.38 mata kepada 11,018 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 64.07 mata kepada 11,246.27.

Indeks FBM 70 merosot 78.11 mata kepada 16,122.68 dan Indeks FBM ACE berkurangan 44.98 mata kepada 4,396.36.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan berkurangan 28.41 mata kepada 7,209.63 dan Indeks Tenaga merosot 6.82 mata kepada 733.79.

Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 84.56 mata kepada 17,336.87 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 1.80 mata kepada 148.26.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan