Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia hampir tidak berubah pada sesi pembukaan hari ini berikutan kekurangan pemangkin baharu selepas prestasi semalaman Wall Street yang mendatar, kata penganalisis.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.02 mata kepada 1,511.97 daripada 1,511.95 pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.99 mata kepada 1,512.94.
Pasaran secara menyeluruh negatif sedikit dengan 98 kaunter rugi mengatasi 82 kaunter untung. Sebanyak 227 kaunter tidak berubah manakala 2,016 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 52.84 juta saham bernilai RM25.57 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran Wall Street ditutup mendatar selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengekalkan pendirian kadar faedahnya manakala ketegangan geopolitik di Timur Tengah terus menjadi tumpuan.
Dow Jones Industrial Average merosot 44 mata atau 0.1 peratus, S&P 500 berkurangan 0.03 peratus manakala Nasdaq Composite naik 0.13 peratus.
Pasaran ekuiti di Asia ditutup rendah berikutan ketegangan geopolitik di Timur Tengah yang masih belum selesai.
Sehubungan itu, Indeks Hang Seng di Hong Kong merosot sebanyak 1.12 peratus.
Pada peringkat tempatan, FBM KLCI ditutup tinggi pada Rabu selepas sesi dagangan yang tidak menentu.
Jumlah dagangan yang rendah mencerminkan pendekatan berhati-hati dalam kalangan pelabur berikutan risiko global yang berterusan dan keadaan pasaran yang tidak menentu.
“Kami menjangka dagangan akan kekal rendah berikutan kekurangan pemangkin dan risiko pasaran yang tinggi. Oleh itu, kami menjangka indeks petunjuk pasaran akan diniagakan dalam julat 1,500 hingga 1,520 mata hari ini,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 2.0 sen kepada RM9.64, Tenaga dan CelcomDigi, masing-masing kekal mendatar pada RM14.22 dan RM3.81, Public Bank merosot 3.0 sen kepada RM4.21 dan CIMB meningkat 3.0 sen kepada RM6.68.
Dalam kalangan saham paling aktif, HLT Global merosot setengah sen kepada 5.0 sen, SNS Network Technology naik 2.0 sen kepada 55.5 sen, Dagang Nexchange meningkat 1.0 sen kepada 30 sen, Elridge Energy Holdings dan Dataprep Holdings, masing-masing tidak berubah pada 59.5 sen dan 11.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 2.37 mata kepada 11,304.18, Indeks FBMT 100 naik 2.36 mata kepada 11,082.46 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 0.04 mata kepada 11,310.38.
Indeks FBM 70 naik 12.45 mata kepada 16,213.24, bagaimanapun Indeks FBM ACE merosot 7.04 mata kepada 4,434.30.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 12.10 mata kepada 7,250.14 manakala Indeks Tenaga merosot 2.06 mata kepada 738.55.
Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 12.98 mata kepada 17,434.41, bagaimanapun Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.26 mata kepada 149.80.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial