PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Seiring Pasaran Serantau

19/06/2025 07:50 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani


KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah seiring dengan prestasi lemah di seluruh rantau ini, kata penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) adalah 0.69 peratus atau 10.51 mata lebih rendah kepada 1,501.44 daripada 1,511.95 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka meningkat 0.99 mata kepada 1,512.94, iaitu paras tertinggi untuk hari ini, dan kemudiannya menyusut pada sepanjang sesi sehingga mencapai paras terendah 1,501.38 sebelum menutup dagangan.

Keseluruhan pasaran suram, dengan 660 kaunter rugi mengatasi 298 kaunter untung manakala 460 kaunter tidak berubah, 1,005 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.81 bilion unit bernilai RM1.69 bilion berbanding 2.42 bilion unit bernilai RM1.79 bilion pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama ditutup rendah berikutan ketegangan geopolitik semakin memuncak susulan Amerika Syarikat (AS) dilaporkan sedang bersedia mengenai kemungkinan melaksanakan tindakan ketenteraan terhadap Iran.

Pada masa sama, Rizab Persekutuan (Fed) AS memberi amaran bahawa perang perdagangan yang berterusan diterajui Presiden AS Donald Trump mungkin mendorong inflasi dan membantutkan pengembangan ekonomi AS.

Peserta pasaran memantau rapat mesyuarat terbaharu Fed pada Selasa dan Rabu berikutan penggubal dasar menilai kadar faedah berdasarkan inisiatif tarif yang diperkenalkan oleh presiden.

"Di dalam negara, kami mengekalkan pendirian berwaspada sebagai tindak balas terhadap ketidakstabilan dan ketidaktentuan global yang semakin meningkat," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Thong berkata indeks petunjuk pasaran menghampiri paras sokongan psikologi 1,500 dan sekiranya melepasi tahap ini, paras sokongan seterusnya adalah 1,485 mata diikuti 1,470 mata.

Pada penilaian semasa, FBM KLCI kini diniagakan kira-kira 12 kali nisbah harga kepada pendapatan bagi tahun kalendar 2025, jauh lebih rendah berbanding purata jangka panjangnya iaitu lebih 16 kali.

“Kami menasihatkan pelabur supaya memberi tumpuan kepada saham berwajaran tinggi yang mempunyai asas kukuh serta menawarkan dividen tinggi seperti sektor perbankan, telekomunikasi dan utiliti.

“Kami menjangkakan FBM KLCI akan bergerak dalam julat 1,500 hingga 1,510 menjelang akhir minggu ini,” kata Thong.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup rendah berikutan ketiadaan pemangkin, yang menyebabkan peserta pasaran terus resah dan tidak pasti.

Beliau berkata sejak Januari hingga Mei, keadaan makroekonomi yang goyah dan ketidaktentuan pasaran telah didorong oleh tarif yang berubah-ubah, rang undang-undang cukai oleh Trump dan ketegangan di Timur Tengah.

Ketidaktentuan dasar, inflasi berterusan dan persoalan mengenai kebebasan Fed terus menambahkan kebimbangan pelabur.

Bagi Bursa Malaysia, walaupun penyertaan asing telah menyusut, ia masih belum mencapai paras terendah yang dilihat pada pertengahan April, katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut 2.0 sen kepada RM9.60, Tenaga dan IHH Healthcare masing-masing kekal tidak berubah pada RM14.22 dan RM6.85, Public Bank susut 5.0 sen kepada RM4.19 dan CIMB rendah 7.0 sen kepada RM6.58.

Bagi saham paling aktif, PUC susut 1.0 sen kepada 2.0 sen, Tanco merosot 2.5 sen kepada 95.5 sen, MYEG turun 2.5 sen kepada 90.5 sen, SNS Network Technology naik 1.0 sen kepada 54.5 sen manakala Borneo Oil kekal pada 1.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 78.06 mata kepada 11,223.74, Indeks FBMT 100 rendah 76.09 mata kepada 11,004.01 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 77.45 mata kepada 11,232.89.

Indeks FBM 70 merosot 107.34 mata kepada 16,093.45 dan Indeks FBM ACE 26.29 mata lebih rendah kepada 4,415.05.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan menyusut 19.43 mata kepada 7,218.61 dan Indeks Tenaga berkurangan 0.96 mata kepada 739.65.

Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 91.28 mata kepada 17,330.14 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.82 mata kepada 148.24.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.13 bilion unit bernilai RM1.45 bilion daripada 1.06 bilion unit bernilai RM1.55 bilion semasa ditutup pada Rabu.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.38 bilion unit bernilai RM164.26 juta berbanding 1.16 bilion unit bernilai RM180.99 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 294.93 juta unit bernilai RM81.53 juta berbanding 194.00 juta unit bernilai RM60.65 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 208.57 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (180.37 juta), pembinaan (89.58 juta), teknologi (144.96 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (55.48 juta), hartanah (155.34 juta), perladangan (15.85 juta),REIT (26.18 juta), dana tertutup (8,000), tenaga (130.36 juta), penjagaan kesihatan (51.27 juta), telekomunikasi dan media (21.23 juta), pengangkutan dan logistik (23.23 juta), utiliti (36.46 juta) dan amanah perniagaan (18,900).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan