Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Jumaat berikutan tekanan jualan besar-besaran dalam sektor teknologi, penjagaan kesihatan dan logistik.
Ia berikutan sentimen risiko yang semakin merosot akibat ketegangan geopolitik dan rancangan Washington untuk mengenakan tarif secara unilateral dalam tempoh dua minggu akan datang.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.51 mata mewakili 0.56 peratus, kepada 1,518.11 daripada 1,526.62 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks penanda aras itu dibuka 4.15 mata lebih rendah pada 1,522.47 dan turun naik antara 1,515.10 dan 1,522.70 sepanjang sesi.
Pasaran secara keseluruhan adalah merosot dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 764 berbanding 250, manakala 463 kaunter tidak berubah, 944 tidak diniagakan dan 17 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.88 bilion unit bernilai RM2.06 bilion berbanding 2.73 bilion unit semalam bernilai RM2.07 bilion.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata penurunan FBM KLCI hari ini berpunca daripada kebimbangan pasaran terhadap ketegangan geopolitik yang kembali memuncak dan menggugat sentimen pelabur serantau.
“Sesi dagangan hari ini memperlihatkan corak yang menyerupai hari pertama perang Rusia-Ukraine pada 2022, namun kali ini melibatkan dua negara pengeksport minyak utama, susulan serangan Israel ke atas kemudahan nuklear Iran,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, bagaimanapun, Malaysia, dalam kalangan rakan serantau, masih menunjukkan daya tahan sepertimana ketika tercetusnya krisis Ukraine, disokong oleh kedudukannya sebagai pengeksport bersih komoditi.
“Ketika itu, kenaikan harga minyak sawit mentah serta minyak dan gas mendorong pelabur beralih kepada sektor defensif seperti utiliti dan perladangan. Jika ketidaktentuan semasa berterusan, peralihan sektor yang sama mungkin berlaku,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen risiko yang ketara didorong oleh serangan Israel ke atas Iran dan ketegangan yang memuncak di Timur Tengah.
“Selain itu, ketegangan perdagangan kembali meningkat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberi amaran bahawa tarif automotif mungkin akan dinaikkan, hanya sehari selepas beliau mendakwa perjanjian AS-China telah dimuktamadkan.
“Memandangkan perubahan mendadak dalam persekitaran makroekonomi semasa, kami mengambil pendekatan lebih berhati-hati di peringkat domestik kerana jangkaan bahawa sentimen pelabur akan kekal tidak menentu,” kata Thong.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing turun tujuh sen kepada RM9.70 dan RM6.82, Public Bank susut empat sen kepada RM4.25, Tenaga Nasional naik empat sen kepada RM14.30, CelcomDigi naik satu sen kepada RM3.80 dan IHH Healthcare tidak berubah.
Bagi saham paling aktif, MYEG susut satu sen kepada 95.5 sen, Tanco dan Velesto meningkat setengah sen setiap satu masing-masing kepada 96.0 sen dan 18.5 sen, Bumi Armada naik satu sen kepada 49 sen, Hibiscus Petroleum melonjak 11 sen kepada RM1.66, manakala Sinaran Advance turun setengah sen kepada tiga sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 74.74 mata kepada 11,370.18, Indeks FBMT 100 susut 70.22 mata kepada 11,144.04, dan Indeks FBM Emas Shariah menyusut 67.97 mata kepada 11,329.53.
Indeks FBM 70 susut 133.95 mata kepada 16,368.71 dan Indeks FBM ACE turun 37.50 mata kepada 4,487.19.
Dari segi sektor, Indeks Tenaga meningkat 14.63 mata kepada 740.76, Indeks Perladangan memperoleh 27.18 mata kepada 7,220.92, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 141.02 mata kepada 17,648.25, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 0.84 mata kepada 151.35.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.37 bilion unit bernilai RM1.81 bilion daripada 1.21 bilion unit bernilai RM1.82 bilion ketika ditutup pada Khamis.
Jumlah dagangan waran susut kepada 1.16 bilion unit bernilai RM151.36 juta daripada 1.31 bilion unit bernilai RM160 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE berkembang kepada 359.88 juta unit bernilai RM97.50 juta daripada 211.79 juta unit bernilai RM81.62 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencakupi 284.9 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (181.32 juta), pembinaan (94.51 juta), teknologi (176.99 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (63.39 juta), hartanah (141.52 juta), perladangan (12.52 juta), REIT (26.04 juta), dana tertutup (10,000), tenaga (193.38 juta), penjagaan kesihatan (76.04 juta), telekomunikasi dan media (39.15 juta), pengangkutan dan logistik (22.28 juta), utiliti (56.73 juta), dan amanah perniagaan (340,100).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial