Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

COVID-19: Satu Kematian Direkodkan Pada ME24, Pertama Tahun Ini

19/06/2025 09:16 PM

PUTRAJAYA, 19 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan satu kes kematian akibat COVID-19 telah direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-24 (ME24) yang merupakan kes kematian pertama tahun ini.

Menurut KKM, kes tersebut melibatkan individu yang mempunyai komorbiditi serius iaitu penyakit jantung dan diabetes serta tidak menerima dos penggalak kedua.

"Situasi ini melibatkan penurunan ketara berbanding 57 kes kematian COVID-19 pada 2024. Kematian terakhir sebelum ini berlaku pada 26 Mei 2024. Ini menunjukkan keberkesanan pelaksanaan langkah kawalan oleh KKM," menurut kenyataan itu di sini hari ini.

KKM memaklumkan kes COVID-19 meningkat 68 peratus iaitu kepada 3,379 kes pada ME24 berbanding 2,011 pada minggu sebelumnya.

Menurut kementerian itu situasi semasa COVID-19 dalam negara kekal terkawal dan di bawah paras amaran kebangsaan, hasil pemantauan berterusan dan intervensi kesihatan awam yang berkesan.

KKM memaklumkan sebanyak 21,738 kes COVID-19 dilaporkan secara kumulatif sehingga ME24 dengan purata mingguan kekal sekitar 900 kes.

Pada ME24, sebanyak enam kes COVID-19 telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) melibatkan individu yang mempunyai komorbiditi iaitu golongan rentan dengan penyakit sedia ada seperti hipertensi, diabetes, dislipidemia, penyakit jantung dan sindrom down.

"Kesemua kes telah menerima rawatan rapi dengan pemantauan profesional kesihatan dan dibenarkan keluar dari ICU iaitu empat kes dibenarkan pulang ke rumah dan dua lagi dipindahkan ke wad biasa," menurut kenyataan itu.

KKM turut menyeru rakyat Malaysia dari pelbagai peringkat usia untuk mendapatkan vaksinasi mengikut keperluan sempena Program Imunisasi Kebangsaan.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan