PASARAN > BERITA

Tekanan Jualan Pada Saat Akhir Heret Bursa Malaysia Ditutup Rendah 

10/06/2025 08:02 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit pada Selasa, dengan indeks petunjuk pasaran menyusut 0.16 peratus, menamatkan peningkatan terdahulu apabila tekanan jualan yang sederhana berlaku pada jam terakhir dagangan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.46 mata kepada 1,516.95 daripada 1,519.41 semasa ditutup pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 0.30 mata lebih tinggi kepada 1,519.71 pagi ini, dan kemudiannya bergerak antara 1,516.23 dan 1,522.43 sepanjang hari.

Di bursa tempatan, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 441 berbanding 437 manakala 533 kaunter tidak berubah, 958 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.72 bilion unit bernilai RM2.09 bilion berbanding semalam 2.61 bilion unit bernilai RM1.84 bilion.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup rendah hari ini.

Menurutnya walaupun berlaku penurunan pada sesi akhir dagangan, sektor-sektor utama kekal konsisten, dengan kaunter pengguna, telekomunikasi dan perladangan terus memberikan kekuatan relatif.

"Kelemahan dalam indeks yang meluas sebahagian besarnya berikutan kedudukan pelabur yang berhati-hati menjelang perkembangan selanjutnya dalam rundingan perdagangan Amerika Syarikat-China yang ketika ini memasuki hari kedua.

"Walaupun kenyataan awal daripada kedua-dua pihak adalah membina, peserta pasaran mengambil pendekatan tunggu dan lihat, dengan minat risiko yang terjejas berikutan ketidaktentuan mengenai hasil rundingan dan tempoh masa bagi sebarang potensi pelepasan tarif," katanya kepada Bernama.

Mengulas mengenai aktiviti pasaran, Mohd Sedek berkata aliran institusi tempatan kekal memberikan sokongan namun tidak cukup untuk mengimbangi aktiviti pengambilan untung menjelang penutupan dagangan.

“Pelabur asing terus mengurangkan pendedahan, menunjukkan aliran keluar bersih bagi hari ke-15 berturut-turut walaupun dengan isyarat yang sederhana dalam intensiti jualan,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata firma pembrokeran itu mengekalkan sasaran mingguan FBM KLCI pada julat 1,500 hingga 1,530 sementara pasaran menunggu pemacu baharu.

“Kami menasihatkan pelabur untuk meneroka peluang dalam sektor berteraskan domestik seperti utiliti, hartanah dan kewangan, yang selalunya lebih berdaya tahan terhadap kejutan perdagangan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM9.66, Tenaga Nasional dan CIMB masing-masing turun empat sen kepada RM14.24 dan RM6.85 manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.26.

Antara kaunter rugi utama dalam pasaran meluas didahului Nestle yang susut 74 sen kepada RM75.0, diikuti Ayer Holdings yang rendah 40 sen kepada RM7.20, Allianz susut 28 sen kepada RM19.12 dan Dutch Lady berkurangan 20 sen kepada RM29.50.

Dalam kalangan saham paling cergas, MYEG naik setengah sen kepada 95.0 sen, NexG turun satu sen kepada 36 sen, Tanco rendah 2.5 sen kepada 96.5 sen manakala Harvest Miracle dan Paradigm REIT yang mula disenaraikan di Pasaran Utama tidak berubah masing-masing pada 18 sen dan RM1.0.

Sementara itu, 99 Speed ​​Mart Retail Holdings Bhd menerusi kenyataan yang dipinda kepada Bursa Malaysia berkata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengambil alih enam juta saham dalam pengendali rangkaian pasar mini itu pada 4 Jun, dan bukan 421.79 juta saham atau 5.02 peratus kepentingan seperti yang diumumkan pada Isnin.

Dana persaraan itu tampil sebagai pemegang saham besar dalam 99 Speed ​​Mart selepas mengambil alih 0.07 peratus kepentingan tambahan dalam syarikat itu, yang meningkatkan kepentingan KWSP dalam 99 Speed ​​Mart kepada 5.02 peratus, melebihi ambang 5.0 peratus yang diperlukan untuk dikategorikan sebagai pemegang saham yang besar.

Pada penutupan dagangan hari ini, harga saham 99 Speed ​​Mart meningkat 4.29 peratus atau 9.0 sen kepada RM2.19 dengan 11.67 juta saham diniagakan.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 0.93 mata kepada 11,394.12, Indeks FBMT 100 naik 1.08 mata kepada 11,159.55, Indeks FBM Emas Shariah menokok 5.18 mata kepada 11,369.22, Indeks FBM 70 melonjak 77.35 mata kepada 16,486.66 manakala Indeks FBM ACE FBM susut 1.35 mata kepada 4,510.78.

Dari segi sektor, Indeks Tenaga meningkat 2.45 mata kepada 723.31 tetapi Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 37.89 mata kepada 17,694.30, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri berkurangan 0.43 mata kepada 151.91 dan Indeks Perladangan susut 38.80 mata kepada 7,210.03.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 1.26 bilion unit bernilai RM1.88 bilion daripada 1.23 bilion unit bernilai RM1.61 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.15 bilion unit bernilai RM108.32 juta daripada 1.09 bilion unit bernilai RM134.4 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 311.24 juta saham bernilai RM95.09 juta daripada 280.34 juta saham bernilai RM94.6 juta pada Isnin.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 228.2 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (156.08 juta), pembinaan (109.33 juta), teknologi (230.77 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (62.25 juta), hartanah (135.0 juta), perladangan (16.36 juta), REIT (65.17 juta), dana tertutup (12,200), tenaga (80.06 juta), penjagaan kesihatan (85.12 juta), telekomunikasi dan media (41.29 juta), pengangkutan dan logistik (22.91 juta), utiliti (28.24 juta), dan amanah perniagaan (64,400).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan