AM

JKNS Perjelas Isu Perkhidmatan, Kemudahan Hospital Queen Elizabeth

29/06/2026 07:30 PM

KOTA KINABALU, 29 Jun (Bernama) -- Individu dilihat tidur atau berehat di ruang lobi dan laluan Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini seperti tular di media sosial baru-baru ini bukan pesakit yang sedang menunggu rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD).

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kebanyakan mereka ialah waris, penjaga atau pengunjung dari luar daerah dan kawasan pedalaman yang menghadapi kekangan mendapatkan penginapan sementara di luar hospital.

Menurut jabatan itu, HQE mempunyai balai pelawat, namun kemudahan berkenaan masih tidak mencukupi untuk menampung jumlah waris yang ramai.

“Pihak hospital memahami keadaan dan kesulitan dihadapi oleh waris pesakit khususnya mereka yang datang dari jauh,” menurut kenyataan itu.

JKNS memaklumkan HQE akan terus memantau penggunaan ruang awam seperti lobi dan laluan utama bagi memastikan aspek keselamatan, kebersihan, keselesaan serta kelancaran pergerakan pesakit, waris dan petugas hospital sentiasa terpelihara.

Berkenaan tempoh menunggu di ETD, JKNS menjelaskan pesakit dirawat berdasarkan tahap kecemasan melalui sistem triage dan bukan semata-mata mengikut nombor giliran.

Menurut kenyataan itu, kes lebih kritikal akan diberi keutamaan segera, manakala pada malam berkenaan perkhidmatan ETD berjalan seperti biasa dengan kehadiran pesakit berterusan.

Berhubung isu parkir, JKNS mengambil maklum kemudahan letak kereta di kawasan HQE boleh menjadi terhad pada masa tertentu khususnya apabila jumlah pesakit, waris dan pengunjung adalah tinggi.

“Pihak hospital akan terus memantau aliran trafik dan pengurusan parkir dengan kerjasama petugas keselamatan bagi mengurangkan kesesakan setakat kemampuan fasiliti sedia ada,” menurut kenyataan itu.

Sebagai langkah penambahbaikan, HQE akan memperkukuh pemantauan di kawasan lobi, laluan awam dan ruang menunggu pada waktu malam, menyelaras semula maklumat berkaitan operasi kantin, selain meningkatkan komunikasi kepada pesakit serta waris berhubung proses menunggu dan keutamaan rawatan di ETD.

JKNS dan HQE turut menegaskan komitmen untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang selamat, berhemah dan berterusan kepada semua pesakit sekali gus menambah baik kemudahan serta pengalaman orang awam dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan