AM

Sabah Electricity Laksana Catuan Bekalan Sementara Di Beberapa Kawasan

29/06/2026 02:05 PM

KOTA KINABALU, 29 Jun (Bernama) -- Sabah Electricity akan melaksanakan catuan bekalan elektrik secara berjadual di beberapa kawasan susulan pengurangan kapasiti penjanaan akibat gangguan bekalan gas kepada beberapa loji jana kuasa.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat utiliti itu memaklumkan situasi tersebut telah mengurangkan margin simpanan Sistem Grid Sabah sehingga memerlukan langkah pengurusan beban bagi memastikan kestabilan sistem grid dan mengelakkan gangguan yang lebih meluas.

“Catuan bekalan ini langkah sementara dan akan ditamatkan sebaik sahaja kapasiti penjanaan kembali mencukupi serta sistem grid stabil.

“Sabah Electricity sedang bekerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan bagi memulihkan kapasiti penjanaan secepat mungkin. Pada masa sama, operasi sistem grid terus dioptimumkan untuk mengurangkan impak kepada pengguna,” menurut kenyataan itu.

Perkembangan semasa dan senarai kawasan terlibat akan dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi Facebook rasmi Sabah Electricity Careline selain pengguna boleh menghubungi talian 15444 untuk pertanyaan.

Syarikat utiliti itu memohon maaf atas segala kesulitan dialami dan menghargai kesabaran serta kerjasama pengguna sepanjang tempoh pengurusan sistem tersebut.

Pengguna dinasihatkan mendapatkan maklumat hanya daripada saluran rasmi Sabah Electricity dan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan