KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Kerajaan melaksanakan 23 inisiatif, projek dan program yang didaftarkan di bawah tujuh teras strategik Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) sehingga 30 Mei, 2026, bagi menggantikan import bahan ramuan halal kritikal, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Kementerian itu menyatakan daripada jumlah berkenaan, tujuh inisiatif dikenal pasti berkaitan pembangunan ramuan halal, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pembangunan bakat dan komersialisasi.
Ia memaklumkan pelaksanaan dibuat secara berfasa melalui pemetaan kategori kritikal, pembangunan R&D dan komersialisasi, fasilitasi pelaburan, pembangunan syarikat peneraju serta padanan industri dan pembiayaan.
“Usaha ini turut disokong oleh pelaksanaan MyHALALINGREDIENTS oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mulai 15 Ogos, 2025 sebagai sistem pengumpulan data bagi merekod dan menilai bahan mentah yang digunakan oleh pihak industri, terutamanya pengilang.
“Sistem ini turut diintegrasikan dengan platform sedia ada, MYeHALAL, bagi mempermudah dan mempercepatkan proses pensijilan secara keseluruhan untuk semua skim pensijilan halal Malaysia,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Rakyat hari ini.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) tentang langkah strategik penggantian import bagi bahan ramuan halal kritikal demi mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan luar.
MITI turut memaklumkan kerajaan mengambil pendekatan penggantian import secara bersasar, tertumpu kepada kategori ramuan yang mempunyai nilai strategik, tahap kebergantungan kepada bekalan luar serta potensi untuk dibangunkan melalui pengeluaran tempatan.
Menurutnya, pendekatan ini turut disokong melalui padanan industri dan kerjasama dengan syarikat peneraju untuk meningkatkan penggunaan kandungan tempatan dalam rantaian bekalan halal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial