EKONOMI

Pasaran Gas Perlu Liberal Sepenuhnya Untuk Lonjak Persaingan, Pelaburan - Presiden MGA

29/06/2026 04:40 PM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Pasaran gas perlu liberal sepenuhnya berasaskan prinsip jual dan beli secara sukarela serta pemansuhan had harga untuk menarik lebih ramai peserta antarabangsa dan merangsang industri yang lebih kompetitif, menurut Persatuan Gas Malaysia (MGA).

Presiden MGA, Abdul Aziz Othman berkata gas yang dibekalkan kepada pengguna bukan tenaga telah diniagakan berdasarkan prinsip jual beli secara sukarela, dengan harga dirunding menggunakan Harga Rujukan Malaysia (MRP) dan harga gas asli cecair (LNG) sebagai rujukan.

“Bagaimanapun, gas yang dibekalkan kepada sektor tenaga, walaupun turut dikaitkan dengan MRP, masih tertakluk kepada had harga RM35. Satu-satunya isu adalah had harga yang dikenakan terhadap gas. Jika anda mahu lebih ramai peserta dalam negara, anda tidak perlu mengawal harga.

“Dalam pasaran yang liberal sepenuhnya, gas sepatutnya dijual berdasarkan prinsip jual beli secara sukarela,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian di luar mesyuarat agung tahunan ke-40 MGA dan majlis perasmian sambutan ulang tahun ke-40 persatuan itu.

Abdul Aziz, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Gas Bhd berkata pemansuhan had harga akan menggalakkan penyertaan lebih ramai pembekal gas antarabangsa, memupuk pasaran yang lebih kompetitif dan akhirnya memberikan manfaat kepada pengguna serta industri.

Ketika ditanya sama ada penyertaan lebih banyak syarikat asing akan memberikan manfaat kepada industri gas Malaysia, beliau berkata negara perlu mengakui bahawa sumber gas domestik adalah terhad namun, permintaan terus meningkat.

“Membawa peserta antarabangsa ke negara ini akan memberikan manfaat kepada Malaysia sekiranya mereka berdaya saing,” katanya.

Pada masa kini, industri gas asli Malaysia menyumbang kira-kira RM52 bilion setahun kepada ekonomi negara serta menyokong lebih 80,000 pekerjaan di seluruh negara.

Abdul Aziz berkata gas asli kekal sebagai komponen utama dalam campuran tenaga Malaysia dan akan terus berperanan penting seiring dengan usaha negara memajukan peralihan tenaga.

“MGA akan terus memastikan suara industri didengari dengan menggalakkan penglibatan yang membina dan berpandangan jauh bersama-sama pembuat dasar serta pihak berkepentingan.

“Kita semua bersama-sama membina industri gas yang lebih kukuh dan berpadu yang memacu pembangunan jangka panjang Malaysia,” katanya.

Acara tersebut menghimpunkan anggota MGA, pemimpin industri dan penggubal dasar bagi memperingati empat dekad kerjasama di samping meneliti hala tuju masa depan sistem tenaga Malaysia.

MGA ditubuhkan pada 1986 dan kini berkerkembang menjadi persatuan industri gas utama di Malaysia dengan mewakili 158 anggota korporat merentasi seluruh rantaian nilai gas, daripada aktiviti huluan hingga kepada pengguna akhir.

Selama empat dekad, persatuan itu berperanan sebagai platform berkecuali untuk kerjasama antara industri, kerajaan dan pihak berkepentingan lain, serta menggalakkan pembangunan mampan industri gas Malaysia melalui advokasi berasaskan bukti, penglibatan aktif dan pendidikan berterusan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan