KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) --Intervensi pasaran buruh pada masa depan perlu memberi tumpuan bukan sahaja kepada pengangguran tetapi juga kekurangan tenaga kerja, kemahiran tidak sepadan dan cabaran yang semakin meningkat bagi pekerja yang diambil bekerja di bawah kelayakan dan keupayaan mereka.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata walaupun Malaysia telah mewujudkan salah satu sistem sokongan paling komprehensif di rantau ini untuk pekerja yang kehilangan pekerjaan, langkah dinamik seterusnya perlu menangani kebolehsuaian tenaga kerja.
"Majikan bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing tenaga kerja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syed Hussain berkata kerjasama lebih padu antara kerajaan, majikan dan pekerja akan membantu membina pasaran buruh lebih berdaya tahan yang memberi manfaat kepada perniagaan dan rakyat Malaysia yang mencari pekerjaan stabil.
Sementara itu, beliau mengalu-alukan komitmen berterusan kerajaan dalam melindungi pekerja yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan dan membantu mereka memasuki semula tenaga kerja melalui ekosistem institusi pasaran buruh yang komprehensif, mekanisme perlindungan sosial dan inisiatif latihan semula serta peningkatan kemahiran.
"Laporan terkini mengenai kehilangan pekerjaan sememangnya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pekerja dan keluarga mereka. Bagaimanapun, Malaysia kekal menjadi antara segelintir negara di rantau ini yang telah mewujudkan rangka kerja sokongan yang meluas dan terselaras untuk membantu individu yang kehilangan pekerjaan," katanya.
Syed Hussain berkata negara telah membangunkan salah satu sistem sokongan paling komprehensif untuk pekerja kehilangan pekerjaan di rantau ini melalui Kementerian Sumber Manusia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Sistem Insurans Pekerjaan (EIS), Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), dan Talent Corporation Malaysia (TalentCorp).
Beliau berkata sistem sokongan pasaran buruh Malaysia itu menunjukkan bahawa kerajaan menyedari pengangguran bukan sekadar isu ekonomi tetapi juga isu sosial yang memerlukan intervensi terselaras melibatkan agensi kerajaan, majikan, penyedia latihan dan pekerja itu sendiri.
“MEF melihat bahawa tidak banyak negara yang mempunyai sokongan institusi meluas seperti di Malaysia.
"Kewujudan agensi khusus yang memberi tumpuan kepada perlindungan sosial, perkhidmatan pekerjaan, pembangunan tenaga kerja dan pengurusan bakat mencerminkan kesungguhan Kerajaan menangani cabaran pasaran buruh," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial