AM

Sebanyak 79,260 Unit RMR Berjaya Disiapkan Di Seluruh Negara - KSU KPKT

28/06/2026 07:07 PM

KUALA NERUS, 28 Jun (Bernama) -- Sebanyak 80,672 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) bernilai RM6 bilion dibina di seluruh negara sejak program itu diperkenalkan pada 2002 hingga kini, kata Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Dr M Noor Azman Taib.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 79,260 unit RMR telah berjaya disiapkan di seluruh negara, manakala 1,422 unit sedang dalam pembinaan.

M Noor Azman berkata Kelantan merekodkan jumlah tertinggi pelaksanaan RMR dengan 12,156 unit berjaya disiapkan dan 57 unit lagi sedang dalam pembinaan, diikuti Terengganu dengan 10,286 unit siap serta 154 unit dalam pelaksanaan, manakala Johor mencatat 8,794 unit siap dan 145 unit lagi sedang dilaksanakan.

"RMR ini merupakan satu skim yang mempunyai chain-effect atau kesan berganda yang diwujudkan khusus bagi membantu golongan sasar memiliki rumah sendiri. Inisiatif ini ialah sebahagian daripada hasil pelaksanaan dasar perumahan negara yang memberikan penekanan terhadap akses dan kemampuan rakyat untuk memiliki rumah.

"Sejak 2002, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah dapat membina hampir 80,000 unit rumah mesra rakyat di seluruh negara. Rumah Mesra rakyat ini dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, berkeluasan 750 kaki persegi.

“Harga rumah ini ialah RM90,000 … kerajaan memberikan subsidi RM20,000, manakala baki RM70,000 merupakan pinjaman tanpa faedah yang boleh dijelaskan dalam tempoh 17 tahun," katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci & Surat Tawaran RMR Negeri Terengganu di Dewan Ehsan Felda Wilayah Timur, di sini hari ini.

M Noor Azman berkata bagi Parlimen Kuala Nerus, SPNB telah menerima sebanyak 1,077 permohonan daripada penduduk kawasan berkenaan sejak 2002 dan daripada jumlah itu, sebanyak 837 unit rumah telah pun siap dibina serta diserahkan.

"Insya-Allah pada 2026 ini, sebanyak tujuh unit sedang dilaksanakan, manakala 200 lagi dalam senarai menunggu (pralayak) … untuk Parlimen Kuala Terengganu, SPNB telah menerima sebanyak 818 permohonan sejak 2002. 

"Daripada jumlah itu, sebanyak 723 unit rumah telah pun siap dibina serta diserahkan dan 16 unit rumah kini sedang giat dibina untuk manfaat penduduk setempat, manakala 270 lagi dalam senarai menunggu. KPKT melalui SPNB akan terus melaksanakan amanah ini untuk rakyat dan golongan sasar yang memerlukan," katanya.

Sementara itu, penerima RMR, Muhammad Faiz Haikal Mohd Lazim, 33, berkata dia bersyukur apabila permohonannya yang dikemukakan pada 2025 diluluskan selepas dua kali berbuat demikian termasuk pada 2023.

Muhammad Faiz Haikal berkata rumahnya kini telah siap dibina dan hanya menunggu bekalan elektrik serta air sebelum dia sekeluarga dapat berpindah.

"Sebelum ini, saya bersama-sama isteri dan anak tinggal dengan ibu saya sejak 2018 di dalam sebuah rumah yang dihuni 12 orang, menyebabkan keadaan menjadi agak sempit. Saya berharap dapat berpindah ke rumah baharu sebaik sahaja bekalan elektrik dan air disambungkan," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan