JENAYAH & MAHKAMAH

Imigresen Tahan 471 Pendatang Tanpa Izin Menerusi 179 Operasi Seluruh Negara

13/06/2026 07:30 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Jabatan Imigresen menahan 471 pendatang tanpa izin kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan berkaitan menerusi 179 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dalam tempoh lima hari bermula Isnin lepas hingga semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi yang dijalankan di pelbagai lokasi tumpuan itu turut membawa kepada penahanan 31 majikan yang disyaki menggaji atau melindungi warga asing yang melakukan kesalahan imigresen.

“Hasil operasi itu, seramai 1,494 individu melibatkan warga tempatan dan warga asing telah diperiksa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata empat negeri merekodkan jumlah operasi tertinggi dalam tempoh berkenaan iaitu Johor dengan 52 operasi, diikuti Perak (36), Kedah (25) dan Putrajaya (22).

Katanya fokus utama operasi adalah bagi memastikan warga asing mematuhi syarat pas yang dikeluarkan kerana setiap pas mempunyai tujuan serta syarat tertentu yang wajib dipatuhi pemegangnya.

“Sebarang penyalahgunaan pas termasuk menjalankan aktiviti yang tidak dibenarkan atau terlibat dalam aktiviti perniagaan secara tidak sah adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang.

“Kegagalan mematuhi syarat pas bukan sahaja boleh menyebabkan pas dibatalkan, malah boleh membawa kepada tindakan penahanan, pendakwaan dan pengusiran dari negara ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan