KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melancarkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu yang dilengkapi dengan 94 ciri keselamatan di Lobi Parlimen, esok.
Langkah menaik taraf dokumen perjalanan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh keselamatan dokumen pengenalan negara bersesuaian dengan statusnya sebagai antara pasport paling berkuasa di dunia.
PMA baharu ini menampilkan lonjakan ciri signifikan berbanding versi sedia ada yang hanya memiliki 49 ciri keselamatan, sekali gus menjadikannya lebih istimewa dan sukar untuk dipalsukan pihak tidak bertanggungjawab.
Antara aspek yang dinaik taraf ialah elemen hologram, cetakan ultraviolet (UV), elemen visual tersembunyi serta beberapa ciri forensik khas.
Malah, kehalusan elemen keselamatan turut diterapkan pada benang yang menjahit buku pasport berkenaan, selain setiap helaian muka surat yang direka secara berbeza.
Awal tahun ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan bahawa Malaysia akan memperkenalkan pasport dan MyKad berwajah baharu demi memperkasakan aspek keselamatan data negara.
PMA berada di tangga ketiga pada 2025 sebagai antara pasport paling berkuasa di dunia berdasarkan Ranking Pasport Index.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial