KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Polis sedang mengesan empat lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di tepi Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat sini, selepas rakaman video mengenai kejadian itu tular menerusi media sosial.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Khairul Anuar Khalid berkata pihaknya mengesan satu video tular itu kira-kira 5 petang semalam yang memaparkan beberapa individu dipercayai mencuri kabel dari sebuah lubang lurang di laluan berkenaan.
Beliau berkata polis sebelum itu menerima laporan berhubung insiden tersebut daripada seorang lelaki tempatan pada Khamis lepas.
“Pengadu memaklumkan kira-kira 1.30 tengah hari, pengadu telah memberhentikan kenderaannya di tepi jalan sebelum ternampak sebuah kereta jenis Honda Odyssey berwarna kelabu menggunakan nombor pendaftaran palsu berada di lokasi tersebut.
“Pengadu mendakwa melihat empat lelaki sedang memunggah kabel yang telah dipotong pendek ke dalam kenderaan berkenaan sebelum mereka beredar dari tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Anuar berkata pengadu sempat merakam kejadian itu sebelum tampil membuat laporan polis.
Kes katanya disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial