BANGI, 6 Jun (Bernama) -- Malaysia dan China memperkukuh kerjasama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui Malaysia-China Industry-Education Alliance (MCIEA), yang akan menyalurkan hampir RM30 juta bagi biasiswa, program latihan dan inisiatif sokongan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara, berkata sebanyak 1,000 penempatan biasiswa bernilai kira-kira RM18 juta akan ditawarkan kepada lepasan TVET Malaysia untuk mereka melanjutkan pengajian peringkat diploma di institusi terkemuka di China.
Beliau berkata 2,000 peluang latihan bernilai lebih RM10 juta juga akan disediakan menerusi program mobiliti, peningkatan kemahiran, kemahiran semula dan inisiatif latihan tenaga pengajar dalam pelbagai sektor bernilai tinggi.
“Selain itu, institusi dan industri China akan menyumbang peralatan latihan TVET bernilai hampir RM2 juta untuk memperkukuh pemindahan teknologi, keupayaan latihan dan kesediaan industri di Malaysia,” katanya dalam ucapan pada majlis makan malam TVET Malaysia–China 2026 di sini, malam ini.
Ahmad Zahid berkata inisiatif itu akan memberi lepasan TVET pendedahan antarabangsa, akses kepada teknologi maju dan laluan kerjaya yang lebih kukuh dalam industri dengan pertumbuhan tinggi.
Beliau berkata kerjasama itu juga akan meningkatkan nilai bakat tempatan sambil memperkukuh institusi dan menyokong industri dengan tenaga kerja yang lebih bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan.
Berkenaan dengan MCIEA, yang dilancarkan malam ini, Ahmad Zahid berkata organisasi itu akan berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan bakat dan industri Malaysia dengan teknologi yang membentuk masa depan, melalui kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan, robotik, pembuatan pintar, kenderaan elektrik, semikonduktor, logistik dan teknologi digital.
Badan gabungan itu juga dijangka mengukuhkan latihan berasaskan industri, meluaskan pembelajaran berasaskan kerja, menggalakkan pensijilan profesional dan mempercepat pemindahan teknologi antara Malaysia dengan China.
“Inilah cita-cita bersama kita, untuk meletakkan Malaysia sebagai hab serantau bagi inovasi TVET dan kerjasama industri–pendidikan, disokong oleh bakat yang lebih bersedia menghadapi masa depan,” katanya.
Ahmad Zahid turut berkongsi bahawa Malaysia perlu bekerjasama rapat dengan rakan strategik seperti China dalam menghadapi perubahan pesat ekonomi global, khususnya dalam pembangunan bakat, teknologi dan inovasi.
Beliau berkata hubungan Malaysia dengan China sekian lama yang dibina melalui perdagangan, pelaburan, pendidikan, teknologi dan pertukaran rakyat dengan rakyat, kekal relevan dan perlu terus diperkukuh, terutamanya dalam usaha membangunkan tenaga kerja mahir yang diperlukan oleh industri masa depan.
Ahmad Zahid berkata kerjasama antara negara kini tidak boleh diukur semata-mata berdasarkan nilai perdagangan atau jumlah projek yang diumumkan, sebaliknya turut bergantung pada keupayaan membangunkan bakat, memupuk kemahiran dan menyediakan rakyat untuk menyesuaikan diri dengan perubahan.
“Pengalaman China telah membuktikan bahawa apabila pendidikan, industri dan teknologi bergerak seiring, sesebuah negara mampu mencapai kemajuan yang luar biasa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial