TAPAH, 6 Jun (Bernama) -- Suami kepada pendaki wanita yang hilang di kawasan Gunung Batu Putih sejak 24 Mei lepas, Haszman Othman, 61, menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sehingga isterinya, Jaslinda Saludin, 49, ditemukan selamat hari ini.
Haszman berkata kejayaan operasi itu ialah hasil kerjasama pelbagai agensi termasuk polis, bomba, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan berkanun, serta masyarakat Orang Asli yang turut membantu sepanjang usaha pencarian dijalankan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat, terutama pihak polis, bomba, NGO, badan-badan berkanun dan juga Orang Asli yang memberikan kerjasama cukup baik sepanjang operasi ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Tapah, di sini malam ini.
Haszman turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menyediakan penginapan dan sokongan kepada keluarganya sepanjang 14 hari operasi SAR itu.
Berhubung tindakan seterusnya, Haszman berkata perkara itu bergantung pada laporan pihak kesihatan yang merawat isterinya ketika ini.
“Saya tahu orang rumah saya tabah. Saya tahu dia kuat (hadapi dugaan),” katanya ketika ditanya tentang keadaan Jaslinda sebaik berjaya dijumpai setelah dua minggu hilang.
Jaslinda ditemukan oleh penduduk Orang Asli berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, kira-kira 5 petang tadi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial