KUALA TERENGGANU, 5 Jun (Bernama) -- Terengganu masih mengekalkan status sifar kes malaria manusia tempatan, meskipun berlaku sedikit peningkatan kes malaria import yang dikesan sejak awal Mei lepas.
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 17 kes malaria direkodkan di Terengganu dalam tempoh 1 Jan hingga Mei 2026.
Daripada jumlah berkenaan, 11 kes melibatkan malaria manusia, manakala empat lagi membabitkan malaria zoonotik yang berpunca daripada parasit Plasmodium knowlesi yang lazimnya hidup dalam monyet atau kera.
"Daripada jumlah kes manusia yang dilaporkan, 11 kes melibatkan pendatang tanpa izin, manakala dua lagi warga asing yang masuk secara sah.
"Siasatan epidemiologi mendapati kesemua kes mendapat jangkitan di luar negara dan diklasifikasikan sebagai kes import. Terengganu masih mengekalkan status sifar kes malaria manusia tempatan," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, kesemua kes telah dikesan awal dan diputuskan transmisi jangkitan, menyebabkan tiada penularan dikesan dalam kalangan penduduk tempatan mahupun pendatang asing di negeri ini.
JKNT juga sentiasa berwaspada dan mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan aktiviti pengesanan kontak dan survelan kes penyakit malaria di semua fasiliti kesihatan.
Selain itu, aktiviti kawalan vektor di lokaliti kes turut dipergiat dan memastikan semua kes positif dimasukkan ke wad untuk diberi rawatan lengkap.
"JKNT mengambil maklum berhubung isu peningkatan malaria yang tular di media sosial. Pihak kami ingin memaklumkan bahawa surat yang tular ialah edaran dalam kepada fasiliti kesihatan di negeri Terengganu bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan anggota bagi pengesanan awal kes malaria manusia dalam kalangan warga asing.
"JKNT akan terus menggiatkan usaha untuk melindungi kesihatan awam, justeru orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi serta mendapat maklumat rasmi situasi malaria daripada sumber Kementerian Kesihatan (KKM)," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial