AM

FINAS Di Fasa Akhir Rangka Skim Wajib Tayang 3.0, Tangani Isu Industri Pawagam

21/05/2026 10:03 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sedang berada di fasa akhir untuk memperkenalkan Skim Wajib Tayang 3.0 yang lebih dinamik bagi mengimbangi keperluan tayangan filem komersial dan filem festival di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata draf dasar baharu itu kini dalam rangka akhir untuk dibentangkan kepada Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bagi mendapatkan kelulusan, selain memastikan ia tidak menjejaskan perniagaan pengusaha pawagam.

"Kita sudah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pengusaha pawagam dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM). 

“Polisi baharu ini akan selari dengan peraturan-peraturan di bawah Akta FINAS yang dijangka diperkenalkan tahun ini," katanya kepada Bernama selepas menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan Fahmi bersama ketua-ketua pegawai eksekutif pawagam Malaysia di Menara Maxis, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac serta Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Datuk Afdlin Shauki.

Mengulas mengenai prestasi industri pawagam, Azmir Saifuddin berkata terdapat jurang perbezaan yang ketara antara prestasi kutipan filem tempatan dengan jumlah kemasukan penonton ke pawagam secara keseluruhan.

Katanya, walaupun industri mencatatkan prestasi membanggakan apabila lima hingga enam filem tempatan berjaya meraih kutipan pecah panggung (box office) melebihi RM10 juta tahun ini, namun sektor perniagaan pawagam secara amnya masih berdepan cabaran kelangsungan selepas pasca-pandemik COVID-19.

“Terdapat pengusaha masih bergelut untuk melunaskan beban pinjaman yang diambil bagi mengekalkan operasi syarikat. Data daripada pihak pawagam menunjukkan trend penurunan penonton sekitar 16 peratus bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas. 

“Antara faktor penyumbang adalah persaingan daripada platform penstriman digital serta tekanan situasi ekonomi semasa," katanya.

Azmir Saifuddin berkata bebanan kewangan pengusaha turut bertambah dengan kos pelaburan teknologi yang kini meningkat sekali ganda mencecah RM3 juta bagi pembinaan sebuah dewan pawagam baharu yang dilengkapi sistem bunyi canggih seperti Atmos serta paparan definisi tinggi (HD), berbanding RM1.5 juta sebelum ini, bagi memenuhi permintaan penonton.

Sehubungan itu, katanya, FINAS sedang mempergiatkan usaha mengumpul data menyeluruh bukan sahaja membabitkan penontonan, malah impak penutupan pawagam ke atas rantaian ekosistem ekonomi dan peluang pekerjaan.

"Apabila pawagam ditutup, kesan rantaiannya bukan sahaja kepada pekerja pawagam, malah rantaian pembekal seperti pembekal bertih jagung turut terjejas. Kita mahu melihat bagaimana industri ini memberi kesan kepada penciptaan peluang pekerjaan.

"Sektor pawagam ini mempunyai kesan berganda yang besar kepada pertumbuhan ekonomi. Apabila penonton ke pawagam di pusat beli-belah, mereka turut berbelanja untuk makan malam dan membeli-belah. Pawagam ialah ejen penarik kepada ekosistem itu,” katanya.

Azmir Saifuddin berkata segala data impak ekonomi berkenaan akan diperhalusi dalam masa terdekat untuk dikemukakan sebagai cadangan insentif atau program bantuan kepada Kementerian Kewangan (MOF) menjelang pembentangan belanjawan akan datang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan