KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Peminat bola sepak tanah air bakal menikmati tayangan kesemua 104 perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV hasil kerjasama strategik bersama dengan tiga syarikat telekomunikasi utama negara.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata jalinan kerjasama melibatkan Unifi, CelcomDigi dan U Mobile itu bukan sahaja memperluas akses sukan bertaraf dunia kepada rakyat malah memperkukuh peranan penyiaran awam dalam menyediakan kandungan berkualiti tanpa kos tambahan.
"Sebentar tadi, RTM selaku stesen penyiaran awam di bawah Kementerian Komunikasi telah secara rasminya mengumumkan jalinan kerjasama strategik bersama dengan tiga syarikat telekomunikasi utama negara iaitu Unifi, CelcomDigi dan U Mobile.
"Hari ini, sukacita saya umumkan bahawa kesemua 104 perlawanan akan ditayangkan dalam RTM dan Unifi TV,” katanya pada sidang media mingguan di Angkasapuri hari ini.
Fahmi berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperluas akses rakyat kepada kandungan berkualiti dan memanfaatkan sukan sebagai medium perpaduan nasional.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Penyiaran RTM Ashwad Ismail berkata penglibatan penaja korporat membolehkan kerajaan meminimumkan perbelanjaan bagi mendapatkan hak penyiaran kejohanan berprestij tersebut.
"Ini hasil kerjasama strategik pelbagai pihak, sebahagian besarnya adalah daripada penaja syarikat korporat dan ia adalah perbelanjaan paling minimum (oleh RTM)," katanya.
Sebelum ini, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI memaklumkan siaran Piala Dunia FIFA 2026 akan tersedia di pelbagai platform termasuk secara percuma melalui MyTV selain platform penstriman (OTT) menerusi RTM Klik dan Unifi TV bagi memastikan capaian menyeluruh.
Beliau berkata Unifi TV akan menyiarkan kesemua 104 perlawanan secara langsung manakala RTM akan menyiarkan sebahagian besar aksi sama ada secara langsung atau siaran tertunda, mengikut jadual yang ditetapkan.
Edisi 2026 bakal menyaksikan Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada menjadi tuan rumah bersama dengan aksi pembukaan dijadualkan berlangsung di Mexico City pada 11 Jun manakala perlawanan akhir akan diadakan di New Jersey pada 19 Julai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial